
KOTA KINABALU – Isu jalan raya rosak di kawasan Parlimen Sepanggar diberi perhatian serius, dengan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan secara berperingkat.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, aduan rakyat berhubung keadaan jalan berkenaan telah diambil maklum dan dibincangkan secara berperingkat bersama Jabatan Kerja Raya JKR) serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
“Tahun lalu, kita berjaya membaiki jalan dari Kampung Tebobon hingga ke Petronas sejauh kurang satu kilometer. Namun, terdapat aduan baharu di kawasan lain yang kini sedang diteliti.
“Petang ini, satu taklimat khas bersama JKR Negeri akan diadakan bagi mendengar isu-isu khusus berkaitan jalan, terutamanya melibatkan laluan Pan Borneo,” katanya kepada media selepas mengadakan sesi walkabout di Tamu Telipok, di sini, pada Khamis.
Menurut Mustapha, pendekatan yang diambil adalah dengan mempercepatkan pelaksanaan projek berskala besar, di samping memastikan jalan-jalan sementara serta sedia ada turut dibaiki demi keselesaan rakyat.
“Perkara ini juga telah saya suarakan kepada Kementerian Kerja Raya di peringkat Persekutuan bagi meneliti penyelesaian terhadap isu jalan Persekutuan yang menjadi sumber aduan orang ramai ketika ini.
“Insya-Allah, isu ini akan diselesaikan secara berperingkat demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta rakyat Sabah,” ujarnya.






