KUANTAN – Kerajaan Pahang memerlukan RM3 bilion bagi tujuan menukar semua paip usang di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang memiliki jajaran paip sepanjang 15,423 kilometer dan 23 peratus daripadanya jenis paip Asbestos Cement (AC) yang usang.
Katanya, paip usang itu dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya masalah paip pecah dan kehilangan air fizikal yang menyumbang kepada angka Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi di negeri ini.
“Kalau boleh, memang kita hendak tukar semuanya sekaligus tetapi kosnya sekitar RM3 bilion maka kita tetap laksanakan juga, namun secara berfasa.
“Untuk tahun 2025 sahaja, PAIP menukar paip usang sepanjang 259.7 kilometer termasuk di kawasan FELCRA Tembeling Tengah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengulung perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Sidang Dewan Negeri Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, berkenaan isu NRW termasuk paip pecah, paip usang dan kehilangan air secara fizikal, kerajaan negeri melalui PAIP sentiasa berusaha menurunkan kadarnya ke tahap yang lebih baik dan berdaya saing.
Katanya, PAIP telah mengambil langkah menyelesaikan permasalahan di peringkat sumber, menstabilkan kapasiti agihan serta memastikan tekanan air mencukupi di seluruh kawasan.
“Kini, walaupun isu ‘blackspot’ terus ditangani dan semakin stabil, PAIP telah bergerak ke fasa lebih proaktif untuk mengurangkan NRW.
“Program ini kompleks dan memerlukan peruntukan sangat besar, namun kita tetap melaksanakannya secara berfasa agar kewangan PAIP kekal seimbang antara operasi harian, persediaan bekalan masa hadapan dan keberkesanan program pengurangan NRW,” katanya.







