
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Lahad Datu yang bertujuan mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelancaran projek di bawah seliaan Sabah Electricity itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati bekalan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu milik.
“Pencapaian ini merupakan satu pencapaian penting bagi Sabah kerana BESS Lahad Datu merupakan fasiliti penyimpanan tenaga terbesar bukan sahaja di negara ini tetapi juga di Asia Tenggara.
“Ia direka untuk meningkatkan kestabilan grid, mengurangkan kebergantungan kepada diesel serta menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pada Majlis Perasmian BESS 100MW/400MW yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Jumaat.
Hajiji berkata, selain BESS, beberapa langkah strategik turut dirancang dan sebahagiannya telah dilaksanakan di bawah Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP2040) yang menjadi panduan utama hala tuju tenaga negeri dengan menekankan tiga prinsip teras seperti keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.
“Semua inisiatif ini penting dalam memastikan kemajuan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Tambahnya, peralihan kuasa regulatori bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada Januari 2024 membolehkan negeri menggubal dasar serta peraturannya sendiri, sekali gus mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga yang disesuaikan mengikut keperluan setempat di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) kapasiti tenaga baharu merangkumi pelbagai sumber termasuk hidro, solar dan angin.
Katanya lagi, bagi meningkatkan lagi penjanaan tenaga, ECoS telah melancarkan bidaan Solar Skala Besar (LSS) bagi pembangunan loji jana kuasa solar antara 1MWac hingga 15MWac pada 2024.
Daripada bidaan itu, sebanyak 15 projek berkapasiti 199MW – 113MW di Pantai Barat dan 86MW di Pantai Timur telah diluluskan.
“Dengan projek sedia ada termasuk yang sedang dilaksanakan, kapasiti LSS di Sabah dijangka melebihi 350MW menjelang 2027, iaitu bersamaan 23 peratus daripada keseluruhan campuran kapasiti penjanaan elektrik negeri.
“Satu lagi projek Solar Fotovolta Skala Besar (LSSPV) di Kota Marudu yang dijangka siap pada 2026 juga akan terus meningkatkan kapasiti tenaga Sabah,” katanya.
Hajiji turut berkata, teknologi penyimpanan tenaga untuk diperkenalkan di beberapa lokasi strategik bagi mengurangkan gangguan elektrik serta menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui dengan grid utama.
Beliau berkata Sabah Electricity sedang bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Elektrifikasi Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SabahRE2) dan memperluas akses elektrik ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kerajaan Negeri kekal teguh dalam komitmennya untuk meningkatkan kebolehpercayaan, kestabilan dan daya tahan jangka panjang sistem bekalan elektrik negeri.
“Menyedari ia sebagai faktor penting dalam menarik dan mengekalkan pelaburan domestik dan antarabangsa, kerajaan melalui kerjasama Sabah Electricity, ECoS dan agensi persekutuan komited untuk membangunkan ekosistem tenaga yang selamat, futuristik dan mesra pelabur,” katanya.
Pada majlis sama, Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Sabah Electricity atas kejayaan meraih beberapa anugerah di Project Management Award (PMA) 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini, menerusi projek BESS yang diiktiraf atas impak tinggi dalam sektor utiliti dan tenaga.







