
SIBU – Tindakan menyeludup 132,000 liter diesel bersubsidi berjaya dipatahkan dalam satu operasi bersepadu di sebuah jeti di Ulu Lanang pada Jumaat lalu.
Rampasan bahan api bernilai RM283,800 itu adalah hasil serbuan bersama yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Azari Miskon berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kapal mendapati bahan api berkenaan disembunyikan di dalam sembilan tangki berasingan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati diesel berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar untuk pasaran di daerah Sibu yang telah dikenal pasti berpotensi menjadi laluan utama penyelewengan.
“Laluan ini merupakan antara jalan utama yang menghubungkan ke laluan keluar lain, sekali gus meningkatkan risiko aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi,” katanya.
Mengulas lanjut, Azari memberitahu, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM773,600 termasuk kapal terbabit yang dipercayai telah berlabuh di jeti terbabit selama kira-kira sebulan dengan memberikan alasan kononnya mengalami kerosakan enjin.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah diserahkan kepada pihak KPDN Sibu untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Sibu, Roslee Masli menegaskan bahawa pihaknya komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain seperti PDRM dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan.
Menurut beliau, penyelewengan khususnya yang melibatkan diesel telah memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, justeru tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna agar tidak melakukan pembelian panik memandangkan bekalan adalah mencukupi dan terkawal di pasaran, selain menggalakkan rakyat menyertai gerakan KITA GEMPUR sebagai usaha bersepadu membasmi manipulasi dan ketirisan.
Bagi melancarkan penguatkuasaan, Roslee memohon kerjasama orang ramai agar menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung salah laku peniaga melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000 atau e-mel ke e-aduan@kpdn.gov.my.
Jelasnya lagi, aduan juga boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan di talian 1-800-886-800 atau terus membuat laporan menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.




