
KERAJAAN melancarkan Operasi Gas Memasak (Op Gasak) secara menyeluruh di seluruh negara mulai 1 Mei hingga 31 Oktober 2025 bagi membanteras aktiviti haram berkaitan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi ini memfokuskan kepada penguatkuasaan terhadap kegiatan decanting haram, penyeludupan, serta penggunaan tidak sah gas subsidi oleh industri berskala sederhana dan besar.
Op Gasak dilaksanakan berasaskan Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 (PPKB (Pindaan) 2021).
“Tiada dasar atau peraturan baharu diperkenalkan dalam Op Gasak dan tidak berlaku sebarang pemotongan atau pemansuhan subsidi seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengakui wujud isu penguatkuasaan khususnya yang melibatkan peniaga makanan dan minuman yang terkesan akibat peraturan semasa.
Oleh itu, pemeriksaan ke atas premis-premis tersebut kini dijalankan pada peringkat advokasi dan semakan pematuhan tanpa sebarang tindakan undang-undang.
Menurut beliau, laporan penuh Op Gasak yang akan disediakan selepas tamat tempoh operasi bakal menjadi asas penilaian terhadap kesesuaian PPKB (Pindaan) 2021.
Sebuah jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan sejak 1 Mei lalu, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, bagi meneliti perkara tersebut dan merumuskan syor kepada Jemaah Menteri.
Pindaan tahun 2021 memperkenalkan had penggunaan LPG bersubsidi sebanyak 42 kilogram pada satu-satu masa. Penggunaan melebihi had tersebut memerlukan permit dan tidak layak lagi untuk subsidi.
“Subsidi LPG adalah bertujuan untuk dapur isi rumah. Ia adalah subsidi kepenggunaan, bukan subsidi perdagangan atau komersial,” tegas beliau.
Namun begitu, ramai peniaga makanan dan minuman, terutamanya yang berskala lebih besar, berpendapat had tersebut tidak mencukupi dan memerlukan semakan semula.
Sebarang pindaan perlu mengambil kira skala dan jenis perniagaan, bilangan tong yang dibenarkan, serta kesan kepada harga makanan.
Beliau turut menekankan kesan kewangan terhadap kerajaan, sebagai contoh, subsidi kepada perniagaan yang menggunakan lima tong LPG sehari mencecah RM6,510 sebulan, manakala penggunaan 10 tong sehari melibatkan subsidi RM13,020 sebulan.
Mekanisme kawalan dan pemantauan juga amat penting, terutamanya bagi membendung aktiviti decanting haram, pemindahan LPG subsidi ke tong tidak bersubsidi untuk tujuan jualan atau penyeludupan.
“Sekiranya pindaan perlu dilakukan, parameter perubahan itu perlu ditentukan dengan teliti.
“Laporan Op Gasak akan menjadi asas penting bagi penambahbaikan peraturan sedia ada,” ujarnya.








