
KOTA BELUD – Semua projek pembangunan di Sabah yang dibiayai Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, jawatankuasa itu berperanan memastikan semua projek dalam kategori pra pelaksanaan dapat dimulakan.
“Saya dan Shahelmey bertanggungjawab memantau serta mencadangkan penyelesaian kepada sebarang isu yang menyebabkan kelewatan permulaan projek-projek ini.
“Apabila projek diserahkan kepada agensi dan kontraktor pelaksana, pemantauan akan diteruskan oleh platform lain seperti Mesyuarat Tindakan Pembangunan,” katanya selepas menyempurnakan Sambutan Pesta Kaamatan dan Perasmian Dewan Terbuka Kampung Podos, di sini, pada Selasa.

Mengenai perkembangan mesyuarat Jawatankuasa berkenaan, Ewon berkata, pelaksanaan yang dimulakan sejak awal tahun ini menunjukkan hasil positif dan menyifatkan penurunan status projek pra pelaksanaan sebagai satu perkembangan positif hasil kerjasama pelbagai pihak.
“Berdasarkan laporan dalam mesyuarat itu pada Mei lalu, jumlah projek dalam status pra pelaksanaan telah berkurangan daripada 207 projek kepada 137 projek.
“Banyak isu teknikal dan pentadbiran berjaya diselesaikan lebih cepat melalui libat urus terus antara agensi pelaksana, kementerian dan Kerajaan Negeri,” ujarnya.








