
AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menyangkal dakwaan beliau menggunakan peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dalam lawatannya ke United Kingdom (UK).
Beliau yang juga Ketua UMNO Maran merupakan antara pemimpin parti yang dilihat menyertai lawatan kerja empat hari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke UK bermula Ahad lalu.
Katanya, beliau dan juga pemimpin UMNO lain yang hadir ke UK tidak menggunakan sebarang kemudahan atau ditanggung kerajaan.
“Posting saya semalam yang memaparkan gambar bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah digunakan oleh sebuah portal berita tanpa kebenaran dan telah mengundang pelbagai reaksi negatif netizen.
“Saya dan juga pemimpin UMNO yang lain yang turut hadir tidak menggunakan sebarang kemudahan kementerian mahupun ditanggung oleh kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada Rabu.
Tegasnya, kehadiran mereka adalah atas perbelanjaan sendiri untuk bertemu anak-anak muda yang ingin mengaktifkan semula Kelab UMNO UK.
“Tuduhan menggunakan duit rakyat dan sebagainya adalah melampau,” katanya.
Terdahulu sebuah portal menyiarkan dakwaan ramai pemimpin UMNO pergi ke UK mengikut lawatan Ahmad Zahuid yang bermula 1 Jun lalu.
Lawatan kerja selama empat hari itu bertujuan memperkukuh hubungan Malaysia dan UK, dengan tumpuan kepada latihan pendidikal teknikal dan vokasional (TVET), pelancongan serta pelaburan.
Berdasarkan foto yang dimuat naik di media sosial, dianggarkan sekurang-kurangnya 12 pemimpin UMNO kini berada di London.
Tiga daripada mereka ialah pegawai Ahmad Zahid termasuk Megat yang juga Pengerusi UMNO Selangor, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Razlan Rafii dan setiausaha akhbar, Fadzmel Fadzil.
Seorang lagi yang menyertai rombongan itu ialah Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki atas kapasitinya sebagai Pengerusi MARA dan jawatan yang berkait rapat dengan portfolio Ahmad Zahid dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.








