
TEMERLOH – Sepasang suami isteri warga emas maut manakala empat individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 134, Jalan Kuantan–Kuala Lumpur, petang Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.25 petang itu, mangsa yang maut ialah Zulkifli Md Yusof, 72, dan isterinya, Radzuan Mohamad, 67.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahrun berkata, kemalangan berlaku membabitkan sebuah Perodua Myvi dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Menurutnya, kenderaan tersebut kemudian bertembung dengan sebuah Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.
“Akibat kejadian, pemandu Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya yang merupakan penumpang hadapan pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
“Cucu pasangan berkenaan berusia 13 tahun mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di zon merah hospital sama,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Mohd Nasyim menambah, tiga individu dalam Perodua Myvi yang merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia mengalami kecederaan dan sedang dirawat di zon kuning.
Jelasnya, siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan jalan lurus dua hala dengan keadaan jalan kering dan cuaca baik.
“Kedua-dua pemandu tidak mempunyai rekod saman lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.






