PUTRAJAYA – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi semalam, mencecah paras tertinggi dalam dua tahun, kata penganalisis kanan Fastmarket Palm Oil Analytics, Sathia Varqa.
Peningkatan ini didorong sentimen pasaran yang meningkat, eksport kukuh dan unjuran pengeluaran yang tidak berubah untuk Oktober, katanya, sambil menambah data rasmi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan dikeluarkan pada 11 November.
Sathia berkata, lonjakan harga itu mencerminkan asas kukuh, dengan permintaan eksport MSM Malaysia dijangka stabil bulan ini.
Bagi tempoh 1 hingga 25 Oktober, harga MSM naik 10 hingga 11 peratus, berbanding tempoh sama pada September, menunjukkan pengukuhan eksport berterusan.
“Pengeluaran juga dijangka tidak berubah terutamanya di Semenanjung berikutan pengeluaran rendah.
“Niaga hadapan sawit mengekalkan peningkatan mendadak walaupun minyak sayuran di bursa Dalian dan Zhengzhou ditutup bercampur-campur,” katanya kepada Bernama.
Sathia berkata, spekulasi mengenai potensi pemulihan ekonomi China juga boleh meningkatkan harga.
“Sebarang dasar bertujuan untuk pemulihan ekonomi akan menjadi penting bagi sektor itu kerana China adalah salah satu daripada tiga pasaran eksport utama minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia,” katanya.









