KUALA LUMPUR – Seorang pelakon, Nadia Kesuma yang dilapor hilang di Arab Saudi sebelum ini disahkan telah dikesan sudah meninggalkan lapangan terbang Jeddah.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, maklumat terbabit diperoleh berdasarkan rekod keluar masuk Jabatan Imigresen Arab Saudi, selepas usaha pencarian dilakukan pelbagai pihak termasuk Konsular Malaysia di negara itu.
Sehubungan itu katanya, berdasarkan maklumat berkenaan, satu laporan polis akan dibuat mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“Beliau (Nadia) pergi ke Arab Saudi dengan syarikat pengendali umrah dan rekod menunjukkan Nadia telah keluar dari lapangan terbang Jeddah di Arab Saudi.
“Laporan polis akan dibuat selepas 20 jam proses pencarian dilakukan dengan mengikut prosedur operasi standard prosedur (SOP),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyantuni pengamal media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohamad meyakini polis Arab Saudi akan membantu mengesan Nadia Kesuma berdasarkan kecekapan mereka, dan meminta ahli keluarga mangsa agar sentiasa bersabar untuk perkembangan semasa.
“Saya semalam sudah berhubung dua atau tiga kali dengan pihak Konsulat untuk pencariannya dan kita juga cuba buat laporan polis tapi polis tempatan tetapkan SOP tunggu 20 jam selepas itu baru boleh dikategorikan sebagai orang hilang.
“Saya juga sudah arahkan pejabat Konsulat untuk melakukan yang terbaik dan pada masa sama, syarikat pengendali umrah tidak lepas tangan begitu sahaja, mesti bertanggungjawab kerana dengan siapa dia pergi atau bawa semua perlu ditanya. Ini kerana dia (Nadia Kesuma) pergi dengan rombongan,” katanya.
Sebelum ini, pelakon itu dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Khamis lalu.
Terdahulu, suami pelakon terbabit merayu kerajaan menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.
Profesor Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, berkata, keadaan ketika ini memerlukan tindakan segera diambil dan bantuan kerajaan diperlukan bagi membantu usaha menjejak keberadaan Nadia Kesuma yang masih misteri.
Jelasnya, ahli keluarga isterinya telah membuat laporan kepada Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah dan kedua-dua agensi itu banyak membantu memberi bimbingan apa yang perlu dilakukan.
Nadia Kesuma dikatakan suka mengembara dan sentiasa memaklumkan pergerakan kepada keluarga apabila tiba di sesebuah negara.





