
KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) menyasarkan prestasi yang lebih cemerlang dengan menjadikan Sabah sebagai negeri terbaik dalam perindustrian, mesra pelaburan dan keusahawanan pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Phoong Jin Zhe berkata menjadi keutamaan bagi tahun 2025 untuk memperkasa Sabah sebagai destinasi pelaburan utama.
“Dengan seluruh Kementerian dan agensi, khususnya Invest Sabah Berhad, digesa memperhebat usaha menarik pelaburan berimpak tinggi serta memperluas aktiviti hiliran sektor pembuatan di negeri ini.
“Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sabah di Singapura (STTOS) perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan utama, khususnya bagi syarikat antarabangsa dan multi-nasional berpusat di Singapura.
“Saya berharap STTOS terus mempergiat usaha menyelaras dan memudahcara pelaburan serta urusan dagang ke Sabah,” katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Tahun 2025 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 MIDE di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau juga berharap peruntukan tahun ini dapat digunakan sepenuhnya dan diawalkan pelaksanaannya.
“Bajet kementerian yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri berjumlah RM64.05 juta iaitu sebanyak RM29.15 juta bagi tujuan perbekalan dan RM34.90 juta untuk pembangunan.
“Bagi bajet pembangunan, sebanyak RM18.07 juta diagihkan untuk tujuan Pembangunan Infrastruktur Taman-Taman Perindustrian di KKIP, POIC Sdn Bhd dan SOGIP.
“Selain itu, SEDCO turut menerima peruntukan sebanyak RM16.33 juta bagi meneruskan pembinaan premis perniagaan baharu serta melaksanakan projek-projek pembangunan yang sedang berjalan.
“Dalam usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan memperkukuhkan pembangunan infrastruktur di taman-taman perindustrian, Kementerian ini diberi peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan melalui MITI dalam bentuk geran berjumlah RM107.8 juta.
“Bagi tahun 2025, sejumlah RM14.6 juta telah diluluskan dan sedia untuk digunakan oleh POIC Sdn Bhd, SOGDC dan KKIP,” katanya.
Mengulas lanjut, Phoong berkata, pelbagai usaha dan perancangan yang telah dirangka untuk dilaksanakan pada tahun ini.
“Antaranya, memperhebatkan usaha untuk merealisasikan setiap cadangan pelaburan agar dapat dilaksanakan dengan segera, demi meningkatkan sumbangan sektor pembuatan terhadap pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah.
“Keutamaan diberikan untuk menyelesaikan isu pelabur bagi mengekalkan imej Sabah sebagai negeri mesra pelabur, sekali gus meningkatkan keyakinan dan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
“Pelaksanaan pelaburan baharu Syarikat Kumpulan Kibing di Kimanis dapat dipercepatkan dengan kadar segera bagi melonjakkan sektor pembuatan Negeri Sabah dan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Saya berharap agar ‘State Manufacturing Investment Taskforce’ di bawah kepimpinan Setiausaha Tetap Kementerian akan terus komited untuk merealisasikan pelaburan dalam negeri,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, misi pelaburan ke luar negara akan diteruskan bagi mempromosikan peluang pelaburan dan perdagangan di Sabah kepada pelabur asing yang menumpukan negara seperti China, Korea Selatan, Jepun dan negara sekitarnya
“Kementerian akan menyertai beberapa Ekspo Perdagangan Antarabangsa pada tahun 2025 untuk meneruskan program mempromosi dan memasarkan produk Sabah ke pasaran antarabangsa
“Antara destinasi yang telah dikenal pasti seperti Gulfood Dubai di Emiriah Arab Bersatu FHA Food and Beverage, Singapura, HK Convention and Exhibition Centre, Hong Kong, WOFEX Mindanao, Filipina, Thaifex di Bangkok, Thailand dan Interfood Jakarta, Indonesia,” katanya.





