
PUTRAJAYA – Satu hubungan strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang digerakkan bagi memperluas capaian perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman melalui pendekatan teknologi digital, termasuk teleperubatan dan penghantaran ubat menggunakan dron.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata inisiatif ini bertujuan menghubungkan lebih 700 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), yang terletak di luar bandar dengan klinik-klinik kesihatan berdekatan.
“Kita mempunyai 1,099 Pusat NADI di seluruh negara, dan 700 daripadanya berada di kawasan luar bandar. Fokus utama adalah untuk menghubungkan pusat ini dengan klinik kesihatan berdekatan, sekali gus menyediakan perkhidmatan teleperubatan dan e-kesihatan melalui panggilan video,” katanya selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya, pada Rabu.
Beliau berkata, langkah ini diyakini dapat membantu mengurangkan kos dan kesukaran penduduk luar bandar mendapatkan perkhidmatan kesihatan, termasuk saringan asas dan sesi konsultasi, tanpa perlu ke pekan atau bandar.
Fahmi menambah, selain perkhidmatan konsultasi dalam talian, perbincangan sedang berlangsung untuk melaksanakan penggunaan dron bagi penghantaran ubat-ubatan ke kawasan pedalaman.
“Ini sedang dibincangkan antara Pusat NADI di bawah MCMC, klinik-klinik dibawah KKM dan pihak berkuasa penerbangan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), yang dijangka digabungkan pada Ogos,” jelasnya.
Menurut beliau, Sabah dan Sarawak akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan awal memandangkan sebahagian besar Pusat NADI di kedua-dua negeri tersebut terletak di kawasan luar bandar.
“Potensi untuk Sabah dan Sarawak amat besar. Kita telah tunjukkan demonstrasi penggunaan dron kepada Perdana Menteri di Tawau dan baru-baru ini di Papar. Jadi, kita akan mulakan pelaksanaan di beberapa lokasi terpilih di dua negeri ini,” katanya lagi.
Fahmi menjangka perbincangan antara agensi-agensi berkaitan akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa bulan, dan pelaksanaan awal dijangka bermula sebelum hujung tahun ini.








