
BETONG – Masjid baharu di daerah kecil Debak kini rasmi dikenali sebagai Masjid Al-Azim selepas dimasyhurkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg pada Jumaat.
Majlis perasmian itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur keagamaan di kawasan luar bandar, sekali gus menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada masyarakat Islam setempat.
Abang Johari berkata, pembinaan masjid tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat untuk tempat beribadah, malah mempunyai peranan yang lebih besar.
“Ia juga berperanan sebagai pusat penyatuan komuniti dan medan pengukuhan ukhuwah dalam kalangan penduduk di kawasan ini,” katanya.
Masjid Al-Azim yang tersergam indah itu dibina di atas tapak seluas 2.98 ekar menelan kos keseluruhan sebanyak RM12 juta, dibiayai sepenuhnya melalui Dana Khas Sarawak (SDAF).
Pembinaan projek ini merupakan hasil usaha berterusan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam, bagi memastikan kemudahan keagamaan terus dipertingkatkan.

Kerja-kerja pembinaan telah dilaksanakan oleh Majlis Islam Sarawak bermula 20 Disember 2023 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 25 November 2025.
Selain menjadi pusat ibadah, pembukaan Masjid Al-Azim turut dijangka bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan rohani masyarakat di Debak serta kawasan sekitarnya.
Terdahulu, Abang Johari bersama-sama barisan kenamaan serta penduduk tempatan turut berkesempatan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





