RUNDINGAN perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) diteruskan bagi memastikan kepentingan ekonomi serta kedaulatan negara kekal terpelihara, susulan tindakan Washington mengenakan tarif unilateral terhadap barangan import termasuk dari Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa rundingan tersebut bukan kehendak Malaysia, sebaliknya langkah perlu untuk menangani tekanan tarif yang turut menjejaskan banyak negara lain yang berdagang dengan AS.
“Perlu saya tegaskan, rundingan ini bukanlah pilihan yang kita minta. Tidak seperti rundingan perdagangan biasa yang dilakukan atas persetujuan bersama, ini adalah tarif unilateral yang dikenakan kepada kita dan banyak negara lain.
“Suka atau tidak, kita perlu berhadapan dengan realiti ini yang jelas tidak adil,” katanya pada Sesi Kenyataan Menteri mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–AS di Dewan Rakyat, hari ini.
Tengku Zafrul turut menolak dakwaan kononnya Malaysia ‘menyerahkan tengkuk’ dalam rundingan tersebut, sebaliknya menegaskan langkah itu merupakan realiti geopolitik yang perlu dihadapi oleh sebuah negara perdagangan terbuka seperti Malaysia.
Beliau berkata, AS kekal sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala pada tahun 2024 bernilai RM325 bilion, termasuk eksport sebanyak RM198.65 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga September 2025 pula, eksport Malaysia ke AS mencecah RM166.38 bilion.
“Ini pasaran yang penting buat Malaysia. Mahu tidak mahu, kita perlu bangkit mempertahankan akses kepada pasaran ini walaupun berhadapan dengan tekanan tarif timbal balas bersifat unilateral oleh kerajaan AS,” katanya.
Menurutnya, kerajaan tidak akan menuding jari atau mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya akan terus bertindak pantas, berhikmah dan berprinsip bagi mempertahankan kepentingan negara.
“Kita bangkit berunding untuk mempertahan kelangsungan perniagaan, melindungi punca pendapatan rakyat Malaysia, mengekalkan pasaran eksport serta mempertahankan maruah negara sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat,” katanya.








