MALAYSIA berdepan risiko besar apabila Amerika Syarikat (AS) dijangka mengenakan semula kadar tarif asal atau lebih tinggi sekiranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara kedua-dua negara gagal dimeterai dalam masa terdekat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu boleh menyebabkan kadar tarif terhadap barangan eksport Malaysia ke AS meningkat semula ke paras asal 24 peratus atau lebih tinggi hingga 100 peratus, sekali gus menjejaskan daya saing syarikat tempatan dan peluang pekerjaan rakyat.
“Jika perjanjian ini tidak dimuktamadkan, besar kemungkinan kadar tarif akan menjadi lebih tinggi. Siapa yang akan menanggung beban ini nanti? Syarikat kita juga. Siapa yang akan kehilangan kerja dan punca pendapatan? Rakyat Malaysia juga,” katanya dalam Sesi Kenyataan Menteri mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–AS di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan, hasil rundingan intensif selama enam bulan antara Malaysia dan AS telah membolehkan kadar tarif yang dikenakan Washington diturunkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
Kadar itu, katanya, merupakan yang terendah dalam kalangan negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS, setara dengan Kemboja, Indonesia, Filipina dan Thailand.
Lebih membanggakan, Malaysia turut memperoleh pengecualian daripada tarif timbal balas 19 peratus bagi 1,711 barisan tarif (tariff lines) yang melibatkan pelbagai produk eksport utama negara seperti minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat ganti pesawat serta farmaseutikal.
Produk-produk terbabit secara keseluruhan menyumbang sehingga RM22 bilion (AS$5.2 bilion) atau kira-kira 12 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke AS pada 2024.
“Ini bukan satu angka kecil. Perjanjian ini memastikan akses yang berterusan bagi eksport barangan Malaysia ke pasaran AS dan memberi kelegaan kepada banyak industri tempatan,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, ketidaktentuan dalam memuktamadkan perjanjian berkenaan turut boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan dasar perdagangan negara.
“Pelabur tidak akan melabur di negara yang kelihatan teragak-agak dan tidak bersedia melindungi pasaran eksportnya sendiri.
“Kebolehramalan dan kebolehjangkaan amat penting kepada komuniti perniagaan,” katanya.







