KUALA LUMPUR- Malaysia ketika ini sedang giat memperkukuh hubungan dagang dan teknologi dengan negara-negara BRICS serta negara membangun sebagai langkah strategik untuk mempelbagaikan pasaran eksport.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, usaha tersebut membabitkan sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor.
Menurutnya, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara-negara Barat adalah sebahagian daripada usaha untuk membina rangkaian kerjasama baharu yang lebih mampan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat.
“Kita perlu terima hakikat bahawa kebergantungan terhadap pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat mungkin akan sampai ke penghujungnya. AS kini tidak lagi menunjukkan minat mengimport dalam jumlah besar daripada Malaysia dan rantau Asia
“Ini adalah hala tuju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeratkan hubungan kita bersama negara-negara lain terutamanya dalam konteks BRICS,” katanya di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Ahli Parlimen PN Kubang Pasu, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail mengenai hasrat kerajaan untuk menggalakkan syarikat-syarikat pembuatan tempatan seperti sarung tangan dan membuka kilang di negara lain seperti Kenya memandangkan negara tersebut dikenakan tarif yang rendah oleh AS.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, pihaknya sedang merangka beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) penting dalam sektor semikonduktor bersama negara-negara seperti Brazil dan India, yang dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Kita sudah ada rundingan untuk menandatangani MoU bersama Brazil dalam bidang semikonduktor dan sedang berbincang dengan India untuk kerjasama yang serupa,” katanya.
Jelas Chin Tong, Perdana Menteri dijadual mengadakan lawatan rasmi ke benua Afrika pada November bagi memperluas kerjasama serantau yang melibatkan pemindahan teknologi dan pembangunan bersama dalam sektor kritikal.
“Malaysia sedang memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara-negara seperti Bangladesh dan Pakistan yang dilihat sebagai pasaran baharu berpotensi tinggi, bukan sahaja untuk eksport tetapi juga kerjasama dalam bidang teknologi.
“Ini bukan soal eksport semata-mata. Kita mahu wujudkan ekosistem yang membolehkan perkongsian teknologi, latihan bakat dan pemindahan ilmu antara Malaysia dan negara-negara rakan,” katanya.




