
TAWAU – Malaysia bersifat neutral, bersedia menerima sesiapa (negara) yang mahu berkawan, membantu dan menyokong negara selain terus berpegang kepada prinsip berkecuali, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, Malaysia terus mengutamakan pendekatan diplomasi pertahanan sebagai usaha utama dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
“Diplomasi perrtahanan yang kita jayakan ialah dengan mewujudkan kerjasama yang kuat dengan negara-negara sahabat seperti operasi, eksesais dan latihan bersama.
“Antaranya Jerman, Jepun, Australia termasuk Amerika Syarikat apabila melaksanakan diplomasi pertahanan, mereka beri kita satu latihan agar meningkatkan keupayaan kemahiran anggota tentera kita supaya apa sahaja kemungkinan sama ada darat atau laut, kita dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perasmian Karnival CIMIC 2025 di Tawau selepas diminta mengulas kerjasama Malaysia dan tentera Amerika (USARPAC) menerusi projek menaik taraf Lapang Sasar Kem Paradise Kota Belud.
Dalam pada itu, Khaled berkata, Kementerian Pertahanan menjunjung kasih atas nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung isu keselamatan maklumat sensitif Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpotensi terdedah melalui media sosial.
“Mungkin dalam keghairahan anggota menunjukkan latihan atau peralatan yang kita ada, ditunjukkan di mana ia disimpan dan risiko terdedah kepada pihak yang berniat tidak baik kepada negara.
“Saya percaya dalam konteks ini panglima-panglima ATM akan memaklumkan kepada anggota untuk berhati-hati supaya tiada liputan-liputan yang tidak wajar untuk dimuat naik ke media sosial,” ujarnya.





