MALAYSIA kekal tegas mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara dalam setiap rundingan perdagangan antarabangsa, termasuk rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pasukan perunding Malaysia tidak pernah berganjak daripada pendirian tersebut, khususnya dalam isu yang melibatkan garis merah seperti hak Bumiputera, dasar perolehan kerajaan, serta liberalisasi penuh sektor strategik termasuk tenaga dan telekomunikasi.
“Kalau ada yang mendakwa kononnya kita ‘jual negara’, saya cabar mereka tunjuk satu klausa yang melanggar atau melepasi garis-garis merah ini. Satu pun tiada,” katanya pada Sesi Kenyataan Menteri mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–AS di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul berkata, walaupun Malaysia berpeluang memperoleh terma perdagangan yang lebih baik dengan membuka sektor strategik, kerajaan tetap berpegang kepada prinsip mempertahankan maruah serta kedaulatan negara.
Beliau menjelaskan bahawa jika Malaysia ingin mendapatkan terma perdagangan yang lebih baik, perkara itu boleh dilakukan dengan mudah melalui penyerahan terhadap garis merah yang selama ini dipertahankan, namun langkah sedemikian tidak akan menjamin tarif yang lebih rendah.
Menurutnya, perjanjian ART turut dirangka dengan memasukkan klausa yang menjamin kedaulatan negara, termasuk pelaksanaan perjanjian berlandaskan kepentingan ekonomi dan keselamatan negara serta berpaksikan undang-undang domestik.
Katanya, Amerika Syarikat juga bersetuju bahawa sebarang langkah bagi menangani isu ketidakseimbangan perdagangan mesti dilakukan melalui mekanisme rundingan untuk mencapai kesefahaman bersama.
“Sebagai contoh, Artikel 5.1.1 perjanjian itu tidak bermaksud Malaysia perlu mengikut setiap sekatan yang dikenakan AS terhadap negara lain. Sebaliknya, frasa ‘mengikut undang-undang dan peraturan domestik’ serta ‘dalam garis masa yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak’ memberi ruang undang-undang dan diplomatik kepada Malaysia untuk menilai tindakan berdasarkan kepentingan nasional.
“Malaysia juga hanya akan bertindak jika isu yang dibangkitkan merupakan ‘shared economic concern’ iaitu perkara yang turut memberi kesan kepada kepentingan ekonomi negara. Ingin saya tegaskan, ini bukan lesen untuk AS memaksa Malaysia mengambil tindakan yang sama.
“Sebaliknya, ia menunjukkan semangat rundingan antara dua rakan strategik, kita berbincang, bukan tunduk sebagai negara bawahan.
“Pendirian kerajaan itu mencerminkan komitmen teguh Malaysia dalam mempertahankan maruah, kedaulatan dan kepentingan nasional dalam setiap perjanjian antarabangsa,” katanya.







