MALAYSIA akan berunding dengan Amerika Syarikat dan tidak bercadang mengenakan tarif balas selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 24 peratus ke atas eksport Malaysia.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, meskipun tarif baharu AS perlu diberikan perhatian serius kerana berpotensi memberi kesan perdagangan negara, Malaysia masih mengekalkan pendirian dari segi perdagangan bebas dan adil terhadap negara itu.
“MITI memandang serius perkara ini dan sedang berhubung secara aktif dengan pihak berkuasa AS untuk mencari penyelesaian yang dapat mengekalkan semangat perdagangan bebas dan adil.
“Dalam mengekalkan semangat ini, Malaysia tidak mempertimbangkan untuk mengenakan tarif balas meskipun tarif AS memberi kesan kepada banyak negara dengan implikasi yang berpotensi besar terhadap perdagangan dan pertumbuhan global,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, MITI berkata, ‘National Geoeconomic Command Centre’ (NGCC) akan meneliti keputusan AS dan merangka strategi menyeluruh menerusi pelbagai pendekatan untuk mengurangkan kesan tarif terhadap ekonomi negara.
NGCC yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan MITI sebagai Sekretariat merangkumi wakil peringkat tinggi dari kementerian dan agensi utama.
Fokus utama NGCC adalah untuk memastikan ekonomi Malaysia kekal berdaya saing dalam situasi yang tidak menentu ini.
“Di peringkat ASEAN, mesyuarat pertama Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN, yang ditubuhkan Februari lalu juga akan bermula tidak lama lagi,” tambah MITI.
Dalam pada itu, Biro Analisis Ekonomi AS berkata, Malaysia berada di kedudukan ke-15 dalam senarai AS dengan lebihan dagangan sebanyak AS$24.8 bilion pada 2024.
“Walaupun defisit perdagangan dalam barangan, AS menikmati lebihan perdagangan dalam perkhidmatan dengan Malaysia, mencerminkan hubungan ekonomi dua hala yang kukuh yang menyokong pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara.
“Perlu ditegaskan bahawa defisit perdagangan dengan AS juga disebabkan oleh banyak firma AS yang telah beroperasi di Malaysia selama beberapa dekad, disebabkan ekosistem perindustrian Malaysia yang mantap, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.
Bagi mengurangkan kesan tarif, MITI berkata, kerajaan sedang berusaha mengembangkan pasaran eksportnya dengan mengutamakan wilayah pertumbuhan tinggi dan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas sedia ada seperti Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedia ada, termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Malaysia juga akan memupuk perkongsian baharu dalam Asean dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalannya dengan mempercepatkan pelaksanaan dasar perindustrian utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
“MITI mengakui bahawa kenaikan tarif Trump menimbulkan cabaran besar kepada dinamik perdagangan global. Walaupun menghormati keputusan berdaulat itu, Malaysia amat percaya pada penglibatan yang membina untuk hubungan ekonomi yang saling menguntungkan.
“MITI komited untuk menjaga kepentingan ekonomi Malaysia dan mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh dengan AS,” katanya.
MITI berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan industri yang terjejas sambil meneroka program sokongan untuk membantu perniagaan menyesuaikan diri.
MITI tetap komited terhadap dialog dan kerjasama bagi menyelesaikan pertikaian perdagangan dan menggalakkan kemakmuran bersama.
“Dalam jangka masa terdekat, walaupun persekitaran luar mungkin mencabar, pasaran dan produk kita yang pelbagai, bersama dengan permintaan yang kukuh terhadap keluaran Malaysia, akan memberikan sedikit penampan kepada kita.
“Selain itu, permintaan domestik yang menjadi pemacu utama pertumbuhan negara kekal stabil. MITI percaya ekonomi Malaysia akan terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.







