
PUTRAJAYA – Wujud keperluan buat Malaysia menggunakan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN bagi mendesak kerajaan junta Myanmar melaksanakan gencatan senjata di negara itu.
Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran) berkata, pihaknya terkejut apabila kerajaan junta Myanmar masih melakukan serangan udara ke atas penduduknya yang kini terkesan akibat kejadian gempa bumi kuat minggu lalu.
Menurutnya, serangan udara itu jelas akan menghalang usaha antarabangsa termasuk oleh negara-negara ASEAN untuk membawa bantuan kepada mangsa gempa bumi di negara tersebut.
“Aliran mengutuk tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh junta Myanmar ini walaupun terdapat seruan oleh Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan kumpulan dan aktivis Myanmar serta antarabangsa untuk gencatan senjata segera.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, harus menyertai seruan untuk gencatan senjata selain menuntut agar rejim Myanmar menghentikan serangan udara dengan segera,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, kerajaan junta Myanmar tetap melancarkan serangan udara ke atas beberapa perkampungan termasuk di daerah Sagaing dan Shan Utara serta di negeri Karen, iaitu antara kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.
Ketika ini, jumlah kematian akibat gempat kuat pada 7.7 skala Ritcher yang melanda Myanmar pada 28 Mac lalu mencecah 3,000 orang dengan angka korban dijangka lebih tinggi ketika pasukan bantuan antarabangsa sedang giat menjalankan kerja-kerja menyelamat.
Dalam pada itu, Aliran memaklumkan, Malaysia sendiri turut terlibat dalam usaha bantuan di Myanmar menerusi Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang tiba pada Isnin lalu.
“Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menuntut penghentian segera serangan udara regim Myanmar dalam memastikan keselamatan anggota penyelamat Malaysia.
“ASEAN sebagai badan serantau harus menuntut agar junta tentera Myanmar melaksanakan gencatan senjata segera dan jika tidak, keahlian Myanmar dalam Asean harus digantung,” katanya.



