
SUNDAR – Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Zon Sundar/Awat-Awat 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Misbahul Huda, Kampung Awat-Awat pada Sabtu lalu berjaya menyemarakkan kembali kecintaan masyarakat terhadap kalamullah setelah kali terakhir dianjurkan pada tahun 2014.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola MTQ merangkap Ketua Kampung Awat-Awat, Haris Matsapar berkata, penganjuran kali ini menjadi wadah penting untuk memperkukuh ukhuwah selain memupuk penghayatan al-Quran dalam kalangan umat Islam.
“Selepas 10 tahun, Awat-Awat sekali lagi diberi amanah sebagai tuan rumah MTQ. Kami menyambut tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi agar majlis berjalan lancar serta memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Perayaan Islam Daerah Kecil Sundar atas kepercayaan yang diberikan serta semua pihak yang telah memberi kerjasama, termasuk pemimpin masyarakat, jawatankuasa penganjur dan para penyumbang.

Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lawas, Syeikh Hadzrei Adam Seberi ketika merasmikan majlis, menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Kecil Sundar, Jawatankuasa Pengelola, Masjid Misbahul Huda serta seluruh penduduk Kampung Awat-Awat yang berganding bahu menjayakan penganjuran kali ini.
“Majlis Tilawah al-Quran ini bukan sahaja menjadi acara tahunan peringkat daerah, malah kesinambungan usaha melahirkan bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan bahkan antarabangsa. Insya-Allah, dari Lawas juga berpotensi lahir qari yang mampu mengharumkan nama di pentas dunia,” katanya.
MTQ Zon Sundar/Awat-Awat 2025 berlangsung selama dua hari dengan penyertaan 11 peserta, terdiri daripada tujuh qari dan empat qariah.
Penganjuran ini bukan sahaja menonjolkan kemahiran bacaan al-Quran yang fasih, malah turut menyerlahkan semangat penghayatan ayat-ayat suci dalam kalangan peserta dan masyarakat setempat.





