KOTA BHARU – Insiden tembakan terhadap kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Rabu lalu, mungkin berakhir tanpa kehilangan nyawa.
Namun bagi Afiq Luqman Mohd Baharudin, 31, berita itu bukan sekadar laporan jenayah di sempadan negara, tetapi mengimbau kenangan paling perit dalam hidupnya.
Hampir sedekad lalu, ibunya – seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan – maut selepas koma apabila kenderaan dinaiki dirempuh tonto ketika mengekori kenderaan penyeludup dalam operasi Ops Chimera di Banggol Chicha, Pasir Mas.
Kejadian itu meragut nyawa Anisah Ali yang keluar menjalankan tugas pada Oktober 2016.
Ancaman terhadap penguat kuasa
“Walaupun kejadian yang berlaku itu dalam situasi berbeza… namun sedikit sebanyak ada persamaan dengan arwah ibu saya, iaitu ancaman terhadap pegawai penguat kuasa.
“Mendengar kejadian yang berlaku itu sekali gus mengingatkan kembali kejadian yang menyebabkan saya kehilangan insan tersayang buat selama-lamanya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, ketika kejadian dia berusia 21 tahun dan masih mengingati setiap jalan cerita dan menyaksikan ibunya yang dihantar pulang selepas dirempuh, koma di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir keesokannya.
Namun katanya, melihat kepada kes terbaru membabitkan Komander AKPS dengan tangkapan yang dilakukan begitu cepat iaitu tidak sampai 24 jam menjadikan dia membandingkan kejadian itu dengan arwah ibunya.
“Bagi kes arwah ibu saya, hingga kini saya masih tertanya-tanya kenapa pelaku tidak didakwa walaupun ada tangkapan sebelum dia dibebaskan. Kes senyap begitu sahaja.
“Saban tahun saya menantikan sebarang perkembangan namun tiada apa-apa tindakan diambil.
“Sebagai seorang anak semestinya saya kecewa kerana ibu meninggal dunia ketika bertugas demi negara namun tiada keadilan kepada kematian arwah.
“Saya berkata sebegini bukan kerana dendam sebaliknya mewakili suara kepada semua keluarga anggota keselamatan yang mungkin menyimpan luka yang sama,” katanya.





