
SANDAKAN – Seorang lelaki warga Filipina berusia 42 tahun ditahan selepas polis menemui dadah disyaki jenis syabu seberat 1,464.4 gram bernilai kira-kira RM48,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah atas air tidak bernombor di kawasan setinggan Batu 3 di sini, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, serbuan dijalankan sekitar pukul 5 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Sandakan dengan bantuan Bahagian Pencegahan (BP) Sandakan.
“Hasil maklumat risikan yang mendapati rumah berkenaan digunakan sebagai lokasi penyimpanan dadah.
“Suspek dipercayai bertindak sebagai pengedar dan penjaga stor penyimpanan dadah di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
George menambah, kejayaan tersebut hasil tindakan pantas dan kerjasama erat antara unit risikan serta pasukan operasi BSJND dan BP Sandakan.
“Pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini secara berterusan dan menyeluruh.
“Komitmen ini sejajar dengan matlamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjadikan Sandakan bebas daripada ancaman jenayah dadah,” ujarnya.



