
PUTRAJAYA – Pihak berkuasa seharusnya memastikan Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dianjurkan oleh Sekretariat Rakyat Benci Rasuah pada Sabtu ini berlangsung dengan aman dan tertib daripada berterusan menggunakan undang-undang untuk menakutkan rakyat berhimpun.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dalam satu kenyataan bersama berkata, tindakan menghalang himpunan aman tersebut didakwa membelakangkan undang-undang yang memberikan kuasa dan hak untuk rakyat menggunakan saluran tersebut.
“Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara serta hak berhimpun dan bersuara adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Taktik menggunakan peruntukan-peruntukan kecil seperti tidak cukup pemakluman adalah taktik lapuk yang digunakan untuk mendekam suara rakyat daripada terus dilaungkan. Apatah lagi isu rasuah ini adalah isu besar yang masih membarah dalam negara.
“Tidak waras bagi pihak berkuasa yang cuba untuk menghalang himpunan aman ini dijalankan. Apakah sebenarnya yang ditakuti oleh penguasa?,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu lagi himpunan tersebut manifestasi suara rakyat yang tidak ingin lagi isu-isu rasuah membelenggu negara, apatah lagi melibatkan pemimpin-pemimpin politik daripada ceruk dan celah mana pun.
“Bersih dan Suaram menyatakan solidariti kepada rakan-rakan daripada Sekretariat Rakyat Benci Rasuah yang akan turun berhimpun secara aman dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah kelak.
“Kami juga ingin menyarankan para menteri yang berada di tampuk kuasa agar bersama nyatakan solidariti bersama himpunan ini.
“Rakyat berhak berhimpun secara aman walaupun kalian tidak suka. Apatah lagi isu ini adalah isu yang kalian perjuangkan selama ini,” ujarnya.
Pada Selasa, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan sudah menerima notis pemberitahuan bagi penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadual pada Sabtu ini, bermula di Kompleks SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke Dataran Merdeka.
Bagaimanapun katanya, notis berkenaan tidak lengkap kerana tidak disertakan dokumen persetujuan daripada pemilik atau penghuni lokasi perhimpunan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).
Disebabkan syarat berkenaan masih belum dipenuhi, Sulizmie Affendy menasihati orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu yang menyalahi undang-undang.
Media sebelum ini melaporkan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah melahirkan rasa terkejut terhadap arahan polis untuk mendapatkan persetujuan daripada pemilik premis yang bakal menjadi tempat mereka mengadakan himpunan pada Sabtu ini
Penasihat undang-undang sekretariat itu Zaid Malek berkata syarat tambahan dikenakan pihak berkuasa ke atas mereka itu disifatkan tidak mempunyai asas undang-undang kerana protes tersebut sepatutnya dijalankan di kawasan awam.
Perhimpunan itu akan bermula di luar Pusat Membeli Belah Sogo, Kuala Lumpur dan menuju ke Dataran Merdeka.







