
LAWATAN kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bukan sahaja bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW 2025) atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai, namun turut menjadi peluang jalinan kerjasama ekonomi Malaysia bersama negara Teluk.
Hasil lawatan tiga hari tersebut membuahkan hasil yang memberansangkan apabila Malaysia dan UAE bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik dalam bidang politik, ekonomi dan pelaburan, pertahanan, tenaga boleh baharu (RE) dan nuklear, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan (Al).
Anwar berkata, hasil daripada mesyuarat dua hala bersama Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan serta Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Dubai menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CEPA) bagi meningkatkan kerjasama perdagangan dan pasaran negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN.
Pencapaian utama ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) yang dijangka meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Tambahan pula, kejayaan memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) membuka ruang kepada perjanjian yang sama dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lain iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Arab Saudi, malah dengan GCC itu sendiri.
“Perjanjian FTA pertama dengan negara GCC itu sasar peningkatan eksport negara ke UAE kepada AS$13.5 bilion pada 2032,” kata beliau.
Selain itu, bertepatan dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu Keterangkumam dan Kemampanan, kehadiran Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN 2025 pada sesi plenari ADSW 2025 menyertai dialog bertajuk ‘ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’, menjadi platform pertama untuk menguar-uarkan Kepengerusian ASEAN kepada kumpulan yang lebih besar.
Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Kenya William Samoei Ruto dan Presiden Uganda Yoweri Kaguta dalam usaha meningkatkan hubungan Malaysia dengan Afrika di mana Kenya telah menjalin hubungan diplomatik selama 60 tahun dengan Malaysia dan menjadi pengimport terbesar kelapa sawit di Afrika serta hab eksport di timur Afrika.
Hubungan diplomatik Uganda dengan Malaysia pula mencapai 63 tahun, dan antara perkara dibincangkan ialah berkenaan usaha mengurangkan jurang imbangan perdagangan, pembangunan Eco Satellite City di Nakagala Estate serta pendidikan dan pembangunan kapasiti.








