KUANTAN – Wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 yang diterima setiap pelajar bagi sesi 2025 tidak akan dipotong, sekali gus ibu bapa tidak perlu bimbang mengenainya.
Jaminan itu diberikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, Datuk Ahmad Suhaimi Endut sambil menyatakan setiap pelajar akan menerima bayaran penuh.
Beliau menjelaskan kementerian sudah mengarahkan supaya bantuan itu tidak dipotong bagi tujuan lain termasuk bagi pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Sebelum ini ada kebimbangan ibu bapa yang mengatakan duit ini (BAP) akan dipotong PIBG umpamanya atau perkara lain. Kita tidak mahu perkara ini berlaku.
“Oleh itu, kita harap bantuan diterima ini akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan pendidikan berbanding perkara lain oleh ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2025 peringkat Pahang di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Pengarah JPN Pahang, Datuk Amzan Abd Malek.
Dalam majlis itu, JPN Pahang menerima RM39.13 juta BAP untuk diagihkan kepada 260,904 pelajar.
Kerajaan memperuntukkan RM791.25 juta khusus untuk bayaran BAP berjumlah RM150 kepada setiap pelajar dengan secara sekali bayar tahun ini.








