SKUAD Harimau Malaya menyerlahkan taringnya apabila membenam cabaran Nepal dengan keputusan 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.
Kejayaan meraih tiga mata penuh ke atas pasukan di ranking 175 dunia itu membolehkan anak buah Peter Cklamovski membuka kempen dengan langkah kanan dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut selepas layak di Qatar pada edisi 2023.
Dalam aksi dikuasai sepenuhnya Malaysia, skuad negara hampir mendahului seawal minit keempat namun percubaan bintang bola sepak negara Arif Aiman Hanapi melambung tinggi.
Arif Aiman sekali lagi mencetuskan huru-hara di depan gawang lawan apabila hantaran lambungnya tepat menuju ke kepala Endrick dos Santos, namun tandukannya tersasar di minit ketujuh.
Endrick sekali lagi berpeluang mencetak nama di minit ke-20 tetapi rembatan lemahnya tepat ke dakapan penjaga gol Kiran Kumar Limbu yang sudah bersedia untuk menampan percubaan pemain tengah Ho Chi Minh City itu.
Gol yang dicari akhirnya menjelma pada minit ke-30 menerusi rembatan luar kotak penalti Hevel yang sedikit membias sebelum masuk menewaskan Kiran untuk mendahului 1-0.
Usaha berterusan Malaysia membuahkan hasil pada minit ke-70 apabila Corbin Ong mudah menolak masuk hantaran Arif Aiman yang bergerak solo dengan menyusup masuk ke kotak penalti.
Berbaki 15 minit, Cklamovski membuat beberapa pertukaran termasuk memberi peluang kepada Faisal Halim yang kali terakhir beraksi pada Mac tahun lalu ekoran menjadi mangsa simbahan asid.
Kelebihan dua gol kekal hingga wisel penamat dan kemenangan itu meletakkan skuad negara di tangga kedua di belakang Vietnam yang sebelum itu membelasah Laos 5-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan F.





