KUNJUNGAN kelab bola sepak Manchester United ke Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun mendapat perhatian Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Perdana Menteri yang juga peminat kelab juara 13 kali Liga Perdana Inggeris itu, berkongsi hantaran rasmi kelab berkenaan menerusi laman Instagram beliau, mengenai perlawanan menentang pasukan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 28 Mei ini.
“Semua negara ASEAN turun sebagai pasukan menentang Man United #ASEAN2025 #GGMU,” tulisnya sambil diiringi lagu keramat Manchester United – Glory Glory Man United.
Kali terakhir United beraksi di Malaysia adalah pada siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI dua kali, 3-2 dan 2-0, masing-masing pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.
Selain perlawanan di Malaysia, juara Eropah tiga kali dalam kenyataan hari ini memaklumkan jelajah pascamusim mereka turut singgah di Stadium Hong Kong pada 30 Mei.
Selepas jelajah di Asia, Manchester United akan menentang Leeds United di Stockholm pada 19 Julai sebelum berlepas ke Amerika Syarikat untuk Siri Musim Panas Liga Perdana menentang West Ham United (26 Julai), diikuti Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).





