
KETUA Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki, meluahkan kekecewaannya terhadap kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang menggelarkannya sebagai ‘pelawak profesional’ dalam konteks mempertikai kelayakan kepimpinannya dalam parti.
Afdlin, yang baru-baru ini meraih kemenangan dalam pemilihan PKR Cabang Setiawangsa dengan menewaskan penyandang, Nik Nazmi, menyifatkan kenyataan tersebut sebagai sindiran yang memberi kesan besar terhadap dirinya serta mandat yang diberikan oleh akar umbi.
“Saya tidak tunggu peluang terbuka luas baru datang mencuba nasib. Saya tampil ketika parti sedang luka dan ramai yang tidak lagi percaya kita mampu bangkit.
“Saya memilih untuk yakin dan berjuang, walau dari gelanggang yang asing bagi orang politik iaitu dunia seni,” katanya.
Mengulas lanjut, Afdlin berkata, keputusannya untuk terjun ke dunia politik dibuat atas dasar semangat perjuangan ketika parti menghadapi gelombang Langkah Sheraton, meskipun berasal dari dunia seni yang sering dilihat asing bagi gelanggang politik.
“Saya tidak tunggu peluang terbuka luas baru datang mencuba nasib. Saya tampil ketika parti sedang luka dan ramai yang tidak lagi percaya kita mampu bangkit.
“Saya memilih untuk yakin dan berjuang, walau dari gelanggang yang asing bagi orang politik iaitu dunia seni,” katanya.
Namun begitu, beliau mempersoalkan niat di sebalik penggunaan label ‘pelawak profesional’ oleh Rafizi, yang menurutnya seolah-olah mempertikai keabsahan mandat yang diterimanya daripada ahli parti.
“Tetapi apabila label itu (pelawak profesional) digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat kepimpinan yang diberikan oleh akar umbi, maka ia membawa maksud yang lain.
“Seolah-olah suara ahli yang memilih saya tidak wajar diberi penghormatan hanya kerana latar belakang saya tidak datang dari ‘kilang politik’,” katanya.
Walaupun kecewa, Afdlin tetap menyatakan keterbukaannya untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam parti, termasuk Rafizi, demi mengukuhkan parti pada masa akan datang.
“Tetapi saya juga tidak akan berdiam apabila integriti dan mandat yang saya pikul cuba dipertikai secara terbuka dan sinikal.
“Saya terbuka untuk berdialog. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak akan berdiam diri jika usaha saya dan suara akar umbi cuba dipinggirkan hanya kerana saya tidak datang dari ‘kilang politik’ yang sama,” ujarnya.
Terdahulu, menerusi program podcast ‘Yang Bakar Menteri’ kelmarin, Rafizi dilaporkan mempertikai kemenangan beberapa Ketua Cabang, termasuk Afdlin, yang disifatkan sebagai ‘pelawak profesional’ menewaskan Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.





