
PROSEDUR bedah siasat dan penggalian semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, akan dilaksanakan dengan kadar segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, tindakan itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam tempoh terdekat.
“PDRM mengesahkan laporan siasatan telah diteliti dan dinilai oleh AGC.
“PDRM menegaskan bahawa keadilan akan sentiasa ditegakkan dan siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang, fakta serta keterangan yang diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, AGC dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengarahkan PDRM menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dilakukan.
AGC menjelaskan, langkah itu bertujuan memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian pelajar berkenaan.
Jabatan itu turut memaklumkan telah meneliti laporan penuh siasatan kematian Zara Qairina, yang mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri sebelum ini memberi jaminan bahawa tiada sebarang perlindungan akan diberikan kepada mana-mana pihak atau pelaku yang terlibat dalam kes tersebut.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai lalu. Kes tersebut menjadi tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.








