
KOMITMEN Kerajaan MADANI terhadap komuniti India terus dizahirkan menerusi Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang berlangsung di Buntong, Perak, pada Sabtu.
Program yang bermaksud ‘kawan’ dalam bahasa Tamil itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, Thulsi Thivani Manogaran, sambil disaksikan Timbalan Ketua Pengarah JKOM, Suwardi Guliling, sebagai simbol kesungguhan kerajaan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.
Bertempat di Dewan Serbaguna Sri Desa Rishah Buntong, Perak, menjadi lokasi ketiga penganjuran NANBA, membawa mesej keterangkuman dan kebersamaan dalam memperkasa komuniti melalui komunikasi berkesan.
Program tersebut turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi memudahkan penduduk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), peluang TVET, skim keusahawanan, insentif belia dan inisiatif lain.
Menurut Thulsi, Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan prinsip mendengar, memahami dan bertindak, dengan jaminan bahawa tiada rakyat yang tercicir daripada akses maklumat, peluang pendidikan atau bantuan ekonomi.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan memperuntukkan pelbagai inisiatif khusus untuk masyarakat India termasuk pembangunan bakat dalam STEM dan TVET, penyediaan rumah mampu milik, projek pembangunan kawasan perkampungan India, serta skim SPUMI dan PPSMI,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan seruan kepada komuniti India agar bersama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sebagai tanda kesatuan dan cinta kepada negara.
Tambah beliau, program NANBA diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak program inklusif dan mesra rakyat, memperkukuh hubungan kerajaan-masyarakat serta memantapkan semangat perpaduan dalam kerangka MADANI.
Sementara itu, Suwardi dalam ucapannya berkata, JKOM bukan sahaja akan mendekati kaun India, malah akan diperluaskan kepada komuniti pelbagai kaum lagi termasuk Melayu, Cina, Iban, Kadazan, Siam dan lain-lain.

“Hari ini tumpuan diberikan kepada komunitiIndia, khususnya golongan belia yang merupakan aset penting negara.
“NANBA membawa mesej bahawa setiap komuniti disantuni dan bahawa kepelbagaian adalah kekuatan yang perlu diraikan dalam semangat Malaysia MADANI,” jelasnya.
Ujarnya, NANBA berperanan bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi juga membina kepercayaan, menjelaskan dasar secara mudah difahami dan membuka ruang akses kepada perkhidmatan kerajaan yang inklusif dan mesra rakyat.





