
KANGAR – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa setiap isu membabitkan kesejahteraan guru, termasuk kes buli siber, akan diberikan perhatian dan ditangani segera.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, guru perlu dilindungi bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik tanpa sebarang gangguan.
“KPM komited dalam memastikan kesejahteraan guru sentiasa terpelihara. Sebarang aduan berkaitan buli siber akan diambil tindakan segera oleh pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi melindungi guru terlibat.
“Bagi kes yang berada di luar bidang kuasa KPM, laporan kepada pihak berkuasa juga akan dibuat bagi memastikan tindakan lanjut dapat diambil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, guru yang menjadi mangsa buli siber akan diberikan sokongan psikososial bagi membantu memulihkan emosi mereka.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes membabitkan seorang guru sebuah sekolah rendah yang menjadi mangsa buli siber.
Mengulas lanjut mengenai kes tular tersebut, Fadhlina menjelaskan bahawa pihak sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah mengambil langkah segera untuk membantu guru terbabit serta mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Kami juga telah merujuk kes ini kepada pihak polis bagi mendapatkan nasihat mengenai tindakan yang perlu diambil. Sesi kaunseling turut diatur untuk memberi sokongan kepada guru terlibat.
“Dalam usaha menangani isu ini, saya menasihatkan semua guru agar cakna terhadap perilaku buli siber seperti yang digariskan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 11 Tahun 2023: Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial KPM,” jelasnya.
Fadhlina mengingatkan pentadbir sekolah, PPD dan JPN supaya bertindak segera sekiranya perkara tersebut berulang agar guru mendapat perlindungan sewajarnya.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan masyarakat untuk menghormati profesion keguruan dan menyelesaikan sebarang ketidakpuasan hati secara baik dan harmoni.
“Aduan boleh dikemukakan kepada pihak sekolah atau menerusi platform aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISSPA) KPM bagi tindakan selanjutnya,” katanya.





