
SANDAKAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Operasi Kesan (Ops Kesan) 3.0 dengan tujuan memantau dan mengawal aktiviti pencatutan di seluruh negara.
Beliau berkata, langkah ini diambil susulan pelarasan gaji penjawat awam yang berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024 melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan Ops Kesan 3.0 ini akan menggunakan lima pendekatan utama untuk memastikan harga barangan dan perkhidmatan tidak melambung tinggi secara tidak wajar.
“Antara langkah utama yang diambil termasuklah pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan sejak 1 Oktober 2024.
“Data ini akan digunakan sebagai asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA.
“Selain itu, pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN juga akan mengutip data harga harian untuk 480 item yang menjadi panduan pemantauan harga di pasaran.
“KPDN juga akan memperkukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta menggalakkan penglibatan orang awam melalui Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur).
“Selain itu, prosedur pengurusan aduan turut diperkukuhkan dengan memastikan tindakan susulan diambil dalam tempoh 24 jam dari masa aduan diterima,” katanya ketika ditemui media selepas sesi advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-Berkat) di sekitar Pusat Bandar Batu 8, Sandakan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, bagi memudahkan orang ramai membuat aduan, KPDN menyediakan pelbagai saluran aduan termasuk WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN di http://eaduan.kpdn.gov.my, talian Call Centre 1-800-886-800, serta aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
Katanya, sepanjang tempoh pengumpulan data Ops Kesan 3.0, sebanyak 2,803 premis telah diperiksa di seluruh negara yang melibatkan 13,209 item.
Setiap premis yang diperiksa telah diberikan notis bertulis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapatkan maklumat awal mengenai harga dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Armizan turut menegaskan bahawa Ops Kesan 3.0 bertujuan untuk mengesan mana-mana pihak yang menaikkan harga bagi mengaut keuntungan yang berlebihan selepas pelarasan gaji penjawat awam.
“Peniaga yang didapati bersalah melakukan pencatutan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Sementara bagi syarikat, denda boleh mencapai sehingga RM500,000,” katanya.
Sementara itu, dengan pelaksanaan Ops Kesan 3.0, KPDN berharap dapat mengekang aktiviti pencatutan dan memastikan kestabilan harga barangan serta perkhidmatan di pasaran demi kepentingan pengguna.








