
KUCHING – Penganjuran Konsert Penghormatan Peringatan ke-31 mendiang Teresa Teng yang dijadualkan pada 24 dan 25 Julai 2026 dijangka bukan sahaja mengubat rindu peminat, malah bakal menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan ekonomi kreatif di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara berprestij itu dijayakan menerusi kerjasama strategik sektor awam dan swasta yang melibatkan Luxe Events & Entertainment, Evac Holdings Group Sdn Bhd, serta Yayasan Teresa Teng.
Menurut beliau, penganjuran persembahan bertaraf dunia itu merupakan komponen utama dalam strategi ‘Ekonomi Kreatif’ kerajaan Sarawak yang menyasarkan pembentukan ekosistem pelancongan berimpak tinggi.
“Konsert ini berfungsi sebagai pemangkin untuk kehadiran pelawat, yang akan memberi manfaat kepada sektor hospitaliti, perniagaan tempatan, serta meningkatkan reputasi Kuching sebagai ‘Bandar Perpaduan’ dan destinasi utama untuk acara antarabangsa,” katanya ketika melancarkan majlis rasmi konsert tersebut.
Beliau menambah, konsert tersebut akan menampilkan penghibur antarabangsa seperti Hu Die dan Wang Tianyi, sekali gus memastikan persembahan penghormatan itu kekal autentik dan terus melonjakkan profil Sarawak di persada global.

Menyentuh mengenai impak serantau, Abdul Karim optimis tahap kesalinghubungan yang semakin meningkat di rantau ASEAN serta minat dari pasaran Asia Utara, terutamanya China, meletakkan Sarawak di kedudukan strategik sebagai hab pelancongan budaya.
Beliau turut memuji jawatankuasa penganjur atas keazaman dan usaha keras mereka yang memastikan Sarawak berjaya menewaskan saingan antarabangsa yang sengit bagi merebut peluang menjadi tuan rumah penganjuran kali ke-31 ini.
“Acara ini bukan sekadar persembahan muzik, ia adalah satu keraian buat ikon kebudayaan yang mana suaranya terus menjadi jambatan merentasi pelbagai negara, bahasa, dan generasi,” jelas beliau.
Jelasnya lagi, penganjuran acara seumpama ini amat sejajar dengan fasa transformasi sosioekonomi Sarawak yang kini melangkah masuk ke tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030), bertepatan dengan hala tuju negeri ke arah menjadi wilayah maju berpendapatan tinggi.




