
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti cadangan untuk menyenaraikan etomidate, sejenis ubat bius intravena, di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sebagai langkah mencegah penyalahgunaannya dalam produk rokok elektronik atau vape.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata buat masa ini, etomidate telahpun tersenarai di bawah Akta Racun 1952 sebagai bahan Kumpulan B, yang bermaksud penggunaannya dalam bidang perubatan adalah terkawal.
“Saya sedar dan mengikuti kes berlaku di Singapura, tetapi etomidate sudah berada dalam senarai Akta Racun 1952. Jadi ia satu amalan klinikal.
“(Gesaan letak bawah Akta Dadah Berbahaya), tanpa pertikai perincian, apa pun cadangan kita boleh pertimbangkan, namun akhirnya kita akan melihat kepada ‘evidence base’ (pembuktian),” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, ketika membahaskan isu tersebut di Dewan Rakyat, menggesa kerajaan mengambil langkah lebih tegas dengan menyenaraikan etomidate di bawah kedua-dua akta tersebut, berikutan laporan kes kematian akibat penyalahgunaannya di negara jiran.
Menurut beliau, etomidate kini disalah guna dalam bentuk cecair dalam pod vape yang dikenali sebagai Kpods Adalah istilah jalanan merujuk kepada pod rokok elektronik yang dicampur atau dicemari bahan kimia berbahaya atau dadah sintetik, dan bukan hanya mengandungi nikotin atau perisa.
Sementara itu, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa kerajaan juga sedang meneliti secara menyeluruh kemungkinan untuk melaksanakan pengharaman terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape secara keseluruhan.
“Saya ambil perhatian (isu rokok elektrik) tetapi tak mahu melakukan semuanya dengan terlalu gopoh-gapah.
“Kita ambil penuh serius dan perlu melalui penelitian serta pertimbangan kesan perundangan dan kesihatan awam,” katanya.








