Kerja kesukarelawanan beri kepuasan, kegembiraan tidak ternilai

KOTA KINABALU – Kerja kesukarelawanan bukan sekadar menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tetapi juga memberi kepuasan tidak ternilai kepada para sukarelawan.

Menurut Eksekutif Kanan di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Nurulhuda Zainudin yang sudah melakukan lebih daripada 100 kerja kesukarelawanan, beliau mendapat kepuasan hati kerana dapat membantu masyarakat.

“Pada saya bila kita buat kerja kesukarelawanan, kita dapat kepuasan hati.

“Saya rasa seronok memberi balik kepada masyarakat yang sebelum ini kita dapat, sekarang adalah masa untuk kita memberi balik kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui wartawan TMP semasa melakukan kerja kesukarelawanan di Dapur Kita-Kita, di sini baru-baru ini.

Nurulhuda yang juga setiausaha kepada Persatuan Skuad Komuniti Prihatin Sabah (KPS) berkata, memulakan kerja sukarelawan tidak semestinya dengan sesuatu yang besar, sebaliknya ia boleh bermula dengan sumbangan kecil tetapi mampu memberi makna besar kepada yang memerlukan.

“Selepas buat kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) kita akan rasa ketagih, kita akan rasa sudah lama tidak buat CSR. Ia tidak perlu besar, ia boleh juga dengan sumbangan kecil seperti masak nasi 20 bungkus bagi sekuriti yang kerja malam, as simple as that,” ujarnya.

Nilai empati perlu dipupuk dalam komuniti

Sifat empati perlu ditanam dalam setiap diri masyarakat kerana ia dapat membentuk keprihatinan dan rasa tanggungjawab sesama insan dalam mewujudkan masyarakat yang penyayang, saling membantu dan bersatu dalam menghadapi cabaran bersama.

Nurulhuda berkata, di samping melakukan aktiviti CSR, beliau turut mendidik anak-anaknya untuk mempunyai sifat empati.

“Sekarang saya bawa anak-anak, mendidik mereka untuk ada empati kepada orang lain.

“Kita mesti tanamkan sifat empati kepada orang lain. Walaupun setinggi mana kita berada, kita mesti selalu pandang bawah, selalu pandang belakang supaya kita boleh sentiasa positif ke hadapan,” kongsinya.

Dapur Kita-Kita inisiatif terbaik bantu golongan memerlukan

Usaha murni Pengarah Syarikat Jetsin Sdn Bhd, Datuk Koh Chung Jade, dalam mewujudkan Dapur Kita-Kita mendapat perhatian dan pujian dalam kalangan pengamal aktiviti sukarelawan.

Menurut Penolong Dekan Jaminan Kualiti di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Dr Ivana Chandra Voo yang juga aktif dalam aktiviti kesukarelawanan, inisiatif Dapur Kita-Kita dalam mengagihkan makanan percuma sebanyak 200 peket sehari adalah sangat bermakna bagi yang memerlukan.

“Saya berasa sangat gembira dan berpuas hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada masyarakat yang dapat memberi balik kepada masyarakat kita.

“Dapur Kita-Kita ini adalah satu inisiatif yang sangat baik daripada Syarikat Jetsin dan juga kepada ahli CSR yang lain yang memberi bantuan,” jelasnya.

Ivana berkata, pengalamannya dalam menyertai aktiviti kesukarelawanan di Dapur Kita-Kita adalah sangat istimewa kerana bermula dengan proses penyediaan makanan sehingga pengagihan peket makanan.

Kerja kesukarelawanan ukir senyuman kepada insan memerlukan

Kerja kesukarelawanan tidak hanya memberi kepuasan kepada sukarelawan tetapi juga memberi kegembiraan kepada golongan yang memerlukan.

Latif Madasila, 63, yang merupakan antara penerima sumbangan makanan dari Dapur Kita-Kita berkata, ia sangat membantu khususnya untuk beliau yang terpaksa berehat daripada bekerja buat sementara waktu akibat sakit gout.

“Di rumah saya ada empat orang dan saya seorang sahaja yang bekerja. Hari-hari saya ambil makanan di sini.

“Saya bekerja sebagai sekuriti di sebuah pusat beli-belah, tapi sekarang saya cuti tiga bulan kerana saya tidak boleh berdiri lama disebabkan sakit gout, kaki saya sakit,” kongsinya.

Sementara itu, Aslam Jumatil, 45, yang merupakan seorang pemandu e-hailing turut berkongsi rasa gembira dan berpuas hati dengan sumbangan ini.

“Sementara saya tunggu pelanggan di parkir teksi, saya datang ambil makanan ini.

“Saya pertama kali datang sini sebab kawan beritahu. Kami sebagai pemandu Grab dan teksi, jadi kawan kata kalau mahu makanan percuma boleh ke Dapur Kita-Kita, jadi saya datanglah.

“Ini sangat memuaskanlah sebab satu orang dapat dua tapau. Terima kasih banyak sebab sangat membantu bagi saya,” ujarnya.

Peter King, 65, pula berharap agar inisiatif sebegini akan diteruskan dan diperbanyakkan lagi.

Dia berkata, sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan khususnya golongan B40.

“Ini dapat meringankan beban kewangan kepada sesuatu keluarga. Saya memang selalu datang sini, selagi ia beroperasi untuk membantu golongan B40.

“Pandangan saya, sekiranya pihak tertentu dapat menambah program seperti ini, ia adalah lebih baik,” katanya.

Related Posts

Projek Hopecare tingkat akses air bersih komuniti luar bandar Limbang

LIMBANG – Pelaksanaan Projek Hopecare ‘Basic Of Life’ Limbang Rural Water Project disifatkan sebagai satu inisiatif amat signifikan dalam usaha memastikan akses kepada bekalan air bersih dan selamat dapat dinikmati…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Maritim Tawau tahan bot nelayan tempatan, langgar syarat sah lesen

TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada dua batu nautika dari daratan pada pukul…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

UMNO undang pemimpin tertinggi parti Melayu, Islam mula usaha pembentukan kolaborasi agung

UMNO undang pemimpin tertinggi parti Melayu, Islam mula usaha pembentukan kolaborasi agung

Kenyataan bertentangan gores UMNO datang daripada DAP ‘Team B’

Kenyataan bertentangan gores UMNO datang daripada DAP ‘Team B’

Projek Hopecare tingkat akses air bersih komuniti luar bandar Limbang

Projek Hopecare tingkat akses air bersih komuniti luar bandar Limbang

Ahmad Zahid diberi tanggungjawab jaga FELDA, FGV

Ahmad Zahid diberi tanggungjawab jaga FELDA, FGV

Maritim Tawau tahan bot nelayan tempatan, langgar syarat sah lesen

Maritim Tawau tahan bot nelayan tempatan, langgar syarat sah lesen

Sabah lancar pelan pengurusan warisan dunia baharu, tumpu isu perubahan iklim

Sabah lancar pelan pengurusan warisan dunia baharu, tumpu isu perubahan iklim