PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15, dengan pelaksanaan dimulakan melalui adunan B12 sebagai langkah memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keputusan itu dibuat sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import serta pendedahan terhadap ketidaktentuan pasaran global.
Beliau berkata, langkah berkenaan merupakan pendekatan jangka sederhana bagi mempercepat peralihan ekonomi ke arah penggunaan tenaga boleh baharu, selain memastikan sumber tenaga lebih terjamin di peringkat domestik.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menstabilkan bekalan dan harga, malah memperkukuh daya tahan ekonomi dalam jangka panjang, mengambil kira konflik di Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga global dijangka berlarutan sehingga 18 bulan.
“Maka, MTEN pada hari ini pada dasarnya bersetuju biodiesel adalah satu daripada sumber biobahan api alternatif dan pilihan paling praktikal dan paling sedia untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Pelaksanaan B10 yang sedang berjalan membuktikan asas pelaksanaannya sudah wujud, maka atas sebab itu kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan adunan B12 tanpa membabitkan sebarang kos tambahan dan hanya menggunakan infrastruktur pengadunan biodiesel sedia ada.
“Kerajaan berpandangan penggunaan biodiesel akan dapat memanjangkan lagi ketersediaan bekalan diesel negara, disokong dengan pelan mitigasi biobahan api, naik taraf depoh B20 dan B30 secara berfasa di bawah RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) serta persediaan ke arah mandat B30 bagi sektor pengangkutan komersial dan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat krisis tenaga global yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan, hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, penggunaan biodiesel lebih praktikal kerana boleh digunakan terus dalam sistem enjin diesel sedia ada, khususnya bagi sektor pengangkutan, logistik, pertanian dan perkhidmatan.
Katanya, pendekatan itu membolehkan pelaksanaan dilakukan segera tanpa perlu menunggu pembangunan menyeluruh ekosistem tenaga baharu.
Dalam pada itu, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama Oil Industry Technical Committee (OITC) bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan teratur.
Akmal Nasrullah berkata, keupayaan semasa negara menunjukkan pelaksanaan langkah berkenaan boleh dipercepatkan.
“Pada 2025, pengeluaran biodiesel Malaysia berjumlah 975,207 tan metrik, sedangkan kapasiti pengeluaran mencecah 2.36 juta tan metrik.
“Ini menunjukkan bahawa asas industri, rantaian bekalan dan keupayaan campuran telah pun tersedia dan hanya perlu diperkukuh secara tersusun untuk memberi manfaat yang lebih besar kepada negara,” katanya.





