PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan asas negara kekal mencukupi dan stabil, meskipun berdepan cabaran akibat krisis tenaga global ketika ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kedudukan semasa menunjukkan lebihan stok bagi beberapa barangan utama seperti beras, ayam, telur, sayur-sayuran, ikan, susu dan buah-buahan.
Menurut beliau, harga sebahagian makanan tempatan juga masih terkawal hasil pemantauan berterusan serta pelaksanaan langkah intervensi oleh kerajaan.
“Fokus kerajaan adalah jelas iaitu menjamin bekalan asas, mengurus penggunaan secara berhemat, membendung kesan kenaikan harga mengikut kemampuan fiskal dan pada masa yang sama membina daya tahan ekonomi negara.
“Kerajaan melihat isu ini bukan hanya sebagai isu minyak tetapi sebagai isu kos sara hidup, daya tahan rantaian bekalan dan keselamatan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat mengenai krisis tenaga global yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan menjangkakan kenaikan kos input pertanian, khususnya makanan ternakan sekitar lapan peratus, manakala baja dianggarkan meningkat antara 15 hingga 20 peratus.
Katanya, kebergantungan tinggi kepada import baja, iaitu sekitar 63 peratus, turut menyumbang kepada peningkatan tekanan kos dalam sektor berkenaan.
Beliau menjelaskan keadaan itu berpotensi memberi kesan kepada harga pengguna sekiranya tidak ditangani lebih awal, justeru pendekatan kerajaan perlu bersifat proaktif.
“Namun, kerajaan mesti jujur bahawa tekanan sedang meningkat pada peringkat kos pengeluaran. Komponen utama seperti diesel, baja dan makanan ternakan merangkumi sekitar 40 peratus input pengeluaran pertanian,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan sedang mengurus situasi berkenaan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada aspek bekalan dan penggunaan secara serentak.
Katanya, antara langkah yang diambil termasuk memperkukuh pemantauan bekalan asas, mengekalkan sokongan kepada sektor pengangkutan dan logistik kritikal, selain meneliti langkah tambahan bagi mengurangkan tekanan kos.





