
SANDAKAN – Sawit Kinabalu merancang untuk memindahkan pejabat wilayahnya di daerah ini ke kawasan Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SKSIP) sebagai langkah strategik memperkukuh operasi serta pembangunan masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg berkata, cadangan tersebut dibuat memandangkan syarikat itu telah mempunyai kemudahan pejabat di kawasan berkenaan, walaupun ketika ini jumlah kakitangannya masih kecil.
“Buat masa ini, jumlah warga kerja Sawit Kinabalu di sini tidak sampai 15 orang.
“Jadi, kita bercadang membawa pejabat wilayah Sandakan yang kini berada di bandar untuk berpindah ke sini.
“Kita berharap kawasan ini akan terus berkembang kerana terdapat banyak perancangan yang akan dilaksanakan, selain memastikan staf pejabat wilayah ditempatkan di sini bagi mengurus dan memantau kawasan ini dengan lebih berkesan,” jelasnya ketika ditemui media pada Majlis Silaturahim Bersama Kakitangan Wilayah Sandakan, di SKSIP, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Victor menjelaskan majlis berkenaan dianjurkan sebagai platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan kakitangan setiap wilayah.
“Program seperti ini memang diadakan setiap tahun dan kali ini kita memilih untuk melaksanakannya di tanah serta kawasan milik kita sendiri, iaitu di SKSIP,” katanya.
Tambahnya, Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa turut menzahirkan keyakinan bahawa kawasan berkenaan berpotensi menjadi lokasi bernilai tinggi pada masa hadapan.





