
KERAJAAN tidak bercadang untuk menyekat akses kepada platform media sosial yang masih belum mendaftar Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP (C)] selepas 1 Januari tahun hadapan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sekatan akses menjadi ‘langkah terakhir’ dan dipertimbangkan selepas tindakan lain diambil selaras dengan akta tersebut.
Akta ini berkuat kuasa bermula 1 Jan 2025.
“Ia mungkin menjadi ‘langkah terakhir’ yang diambil kerajaan selepas mengambil tindakan lain berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Pada waktu ini kerajaan tidak berhasrat mengekang akses kepada platfrom tersebut (jika gagal berdaftar). Jadi kita lihat itu sebagai ‘the last resort” (langkah terakhir diambil) dan kita tak mahu ke arah itu.
“Apa yang penting kita bukan sahaja mahu internet yang lebih laju, lebih murah (tetapi) selmat untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), yang bertanya sama ada akses pengguna kepada platform media sosial tidak berlesen akan disekat selepas 1 Jan 2025.
Pada 27 Julai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pemesejan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon Lesen Kelas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Keperluan itu akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025, berikutan pengenalan rangka kerja kawal selia baharu untuk media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang berkuat kuasa pada 1 Ogos.
MCMC telah menjelaskan bahawa penguatkuasaan ini sejajar dengan keputusan Kabinet bahawa media sosial dan perkhidmatan pesanan internet di Malaysia mesti mematuhi undang-undang Malaysia.
Wan Saiful juga membangkitkan soalan tambahan berhubung penggubalan Rang Undang-Undang Akta Keselamatan Dalam Talian yang dicadangkan, bertanya sama ada terdapat penglibatan berterusan untuk memastikan penjajaran dalam proses pelesenan dan perundangan baharu.
“RUU ini sedang dibangunkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU). Antara Kementerian Komunikasi, MCMC dan BHEUU, kita buat banyak libat urus untuk pastikan tak berlaku pertindihan antara akta terbabit serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Jadi keduanya adalah bersifat komplementari antara satu sama lain,” kata Fahmi.








