RAUB – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti mekanisme kawal selia baharu bagi memastikan permainan dalam talian dan aplikasi media sosial lebih selamat, terutama kepada pengguna bawah umur.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia susulan kebimbangan semakin meningkat terhadap keselamatan penggunaan kanak-kanak termasuk dalam kes terkini membabitkan permainan di aplikasi Roblox.
Mengulas lanjut, katanya, kementerian kini menilai keperluan melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox yang dianggap tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah usia 16 tahun.
Selain Roblox, permainan lain termasuk Grand Theft Auto (GTA), Call of Duty, PUBG, Free Fire, Fortnite, Dead by Daylight, Among Us, Horrorfield dan The Outlast Trials.
“Kami sedang mengkaji kerangka peraturan paling sesuai dan berkesan. Beri kami sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat, tetapi yang pasti, kita tidak boleh berdiam diri.
“Setakat ini, kerajaan belum buat keputusan rasmi mengenai perkara ini. Saya menyeru ibu bapa sentiasa pantau aktiviti dalam talian anak-anak dengan lebih dekat,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Internet Selamat peringkat Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah, di sini, hari ini.
Fahmi berkata, kementeriannya sudah bertemu wakil Roblox susulan insiden di Kampung Parit Nipah Laut itu, malah beliau sendiri melarang anaknya daripada bermain memadamkan aplikasi itu daripada semua peranti di rumah.
“Ada antara permainan mengandungi elemen membunuh, jenayah, perjudian, malah ada memberi ganjaran maya apabila melakukan kekerasan.
“Ini bahaya kepada minda dan emosi kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, Akta Keselamatan Dalam Talian dijangka berkuat kuasa awal tahun depan bagi mewajibkan penyedia platform memastikan persekitaran digital yang selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
“Kita juga sedang meneliti keperluan melesenkan aplikasi tertentu termasuk Omi, selain mengawal selia aktiviti influencer di media sosial.
“Masalah utama ialah proses verifikasi umur dan pengesahan identiti yang masih longgar,” katanya sambil memaklumkan MCMC akan ke Singapura minggu depan bagi berbincang dengan beberapa syarikat media sosial berhubung pelaksanaan sistem eKYC.






