
KERAJAAN sedang meneliti beberapa langkah mitigasi bagi mengurangkan kesan pelaksanaan peraturan cukai eksais P.U. (A) 402/2019 terhadap harga kenderaan tempatan yang dijangka meningkat apabila peraturan itu dikuatkuasakan bermula tahun depan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan komited untuk memastikan sebarang implikasi kenaikan harga dapat diminimumkan agar tidak membebankan rakyat.
“Berhubung kesan pelaksanaan peraturan ini kepada peningkatan harga, ia masih belum dapat dipastikan memandangkan model perniagaan syarikat pemasang kenderaan tempatan adalah berbeza antara satu sama lain menyebabkan berlakunya ketidakseragaman pengenaan cukai eksais ke atas kenderaan yang dikilang.
“Kerajaan telah membuat pengumpulan data dan melaksanakan sesi libat urus bersama pihak industri bagi mendapatkan pandangan serta penyelesaian kepada isu yang berbangkit.
“Sehubungan itu, kerajaan kini sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengurangkan implikasi kenaikan harga kenderaan tempatan selaras dengan penguatkuasaan peraturan P.U. (A) 402/2019,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN–Jempol) mengenai sama ada kerajaan akan meneruskan atau menangguhkan penguatkuasaan peraturan cukai eksais tersebut yang dijangka meningkatkan harga kenderaan sehingga 30 peratus bermula tahun 2026, serta langkah mitigasi bagi memastikan harga kereta kekal mampu milik untuk rakyat.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, pada masa ini pengecualian terhadap pelaksanaan peraturan P.U. (A) 402/2019 diberikan secara eksklusif kepada pengilang yang menjalankan pemasangan kenderaan tempatan (CKD) sahaja.
“Pengecualian ini diputuskan susulan kebimbangan pihak industri automotif tempatan mengenai kenaikan harga kenderaan secara mendadak.
“Ia kesan daripada penguatkuasaan peraturan tersebut dan bagi membolehkan industri bersedia dengan pelaksanaan peraturan P.U. (A) 402/2019 kelak,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, harga kenderaan dijangka meningkat tahun depan berikutan penguatkuasaan peraturan cukai eksais baharu, P.U. (A) 402/2019, yang dijadualkan bermula pada tahun 2026.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain, sebelum ini berkata pihaknya masih menunggu penjelasan lanjut berhubung pembaharuan pengenaan cukai tersebut daripada Kementerian Kewangan.





