
SANDAKAN – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menyarankan agar kerajaan serta syarikat penerbangan AirAsia mempertimbangkan pemberian subsidi tambang penerbangan khas kepada rakyat Sabah yang ingin pulang mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Dewan Undangan (DU) Sabah pada 29 November ini.
Menurut beliau, ribuan anak Sabah yang bekerja dan menetap di Semenanjung kini berdepan kos penerbangan yang tinggi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, meskipun AirAsia telah mengumumkan promosi ‘Jom Balik Undi’ dengan tambang serendah RM299 sehala.
“Hakikatnya, harga RM299 sehala masih terlalu tinggi bagi kebanyakan rakyat Sabah, khususnya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.
“Perjalanan pergi balik boleh mencecah hampir RM600 seorang, belum termasuk caj bagasi dan cukai lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Tambah Suhaimi, dalam keadaan ekonomi yang mencabar serta tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, rakyat biasa sukar menanggung perbelanjaan hampir RM600 hanya untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi.
Beliau turut mengingatkan bahawa AirAsia pernah menerima pembiayaan sebanyak RM300 juta daripada Sabah Development Bank (SDB) semasa pentadbiran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal bagi membantu syarikat itu bertahan ketika pandemik COVID-19.
“Setakat ini, bayaran balik kepada SDB dilaporkan hanya sekitar RM170 juta, bermakna masih ada baki besar yang belum dilunaskan kepada institusi kewangan milik kerajaan negeri.
“Oleh itu, wajar bagi AirAsia menunjukkan rasa tanggungjawab kepada negeri yang pernah membantu mereka,” katanya.
Suhaimi berkata, AirAsia perlu menzahirkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menawarkan tambang khas bawah RM300 pergi balik kepada pengundi Sabah sepanjang tempoh pilihan raya.
“Jika bantuan dana RM300 juta daripada kerajaan negeri suatu ketika dahulu mampu menyelamatkan AirAsia, maka menurunkan harga tiket untuk rakyat Sabah pulang mengundi bukanlah beban, tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial,” katanya.
Beliau turut menyeru agar Datuk Seri Shafie Apdal tampil menggesa pihak AirAsia menyalurkan subsidi tambang khas itu sebagai bukti bahawa dana negeri yang disalurkan sebelum ini akhirnya memberi manfaat kembali kepada rakyat Sabah.



