
Oleh: Benzema
KUNDASANG – Kerajaan Negeri Sabah bercadang dan merancang untuk memperluaskan kawasan perlindungan dengan pewartaan empat lokasi baharu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, sebanyak empat kawasan yang dikenal pasti iaitu Teluk Darvel di Lahad Datu, Pulau Mengalum di Kota Kinabalu, Perairan Mantanani di Kota Belud, dan Kawasan Bekas Lombong Mamut di Ranau.
“Usaha ini adalah selari dengan komitmen Negeri Sabah terhadap Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD).
“Ini khususnya di bawah rangka kerja Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework (GBF) dan sasaran 30×30 untuk melindungi 30 peratus kawasan biodiversiti Malaysia menjelang tahun 2030,” katanya sempena Majlis Penutupan Jubli Intan Taman-Taman Sabah di Pekan Kundasang pada Sabtu.
Tambah beliau, selepas 60 tahun kelahiran Taman-Taman Sabah, terdapat sembilan buah Taman Negeri di Sabah yang terdapat 24 pintu masuk stesen dengan zon rekreasi yang mempunyai pelbagai kemudahan pelancongan dan sembilan pos kawalan di seluruh Sabah.
Menurutnya lagi, kejayaan selama enam dekad bukan sahaja bukti dedikasi Taman-Taman Sabah tetapi juga simbol kekuatan Sabah dalam mengimbangi pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Ini menandakan 60 tahun dedikasi institusi tersebut dalam memelihara khazanah alam semula jadi negeri Sabah untuk generasi akan datang.
“Perjalanan ini adalah hasil usaha bersama untuk memastikan khazanah biodiversiti Sabah kekal dipelihara dan menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada negeri ini malah di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Jelasnya, penglibatan komuniti setempat adalah kunci kepada kejayaan usaha konservasi ini.
Beliau berkata, dengan sokongan semua pihak akan terus memastikan khazanah alam semula jadi Sabah kekal terpelihara selama 1,000 tahun lagi.
Pada majlis tersebut, Christina turut menerima Bendera Jelajah Kasih Jubli Intan Taman-Taman Sabah dan melancarkan Buku ‘Cerita 60 Tahun Memelihara Khazanah Alam Sabah’.
Seterusnya buku tersebut telah dimasukkan ke dalam peti besi ‘Sabah Parks Centennial Time Capsule’ sebagai simbolik untuk menghargai usaha pemeliharaan alam semula jadi.
Kapsul masa itu akan disimpan selama 40 tahun yang dijadualkan dibuka semula pada 16 Januari 2064 sempena ulang tahun ke-100 Taman-Taman Sabah

Dalam pada itu, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan dan wang tunai kepada tiga Persatuan Komuniti iaitu Tajau Laut dari Kudat; Zon Kegunaan Komuniti dari Tenom dan Malim Bukit Bohey Dulang dari Semporna.




