
TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo membawa muatan kelapa sawit yang melanggar syarat sah lesen kerana gagal memaklumkan pertukaran nakhoda, pada Jumaat.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot berkenaan ditahan di kedudukan 2.8 batu nautika selatan Tinagat oleh bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris kira-kira pukul 8.30 malam.
“Bot kargo itu dikesan bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Perairan Kinabutan dan semasa pemeriksaan dokumentasi mendapati nama juragan warga Indonesia berumur 40 tahun tersebut tiada dalam lesen bot yang didaftarkan.
“Juragan dan bot kargo serta muatan dianggarkan bernilai RM46,000 kemudian ditahan untuk disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952
kerana gagal memaklumkan pertukaran nakhoda,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Menurut Shahrizan, sikap pengusaha bot kargo yang tidak mengambil berat berkaitan syarat sah lesen ini wajar diambil tindakan bagi memberi pengajaran kepada pengusaha-pengusaha bot agar lebih peka dengan syarat yang ditetapkan.
Beliau juga menyeru orang awam agar menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke
talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999
untuk maklum balas segera.




