
KERAJAAN berperanan besar dalam menyampaikan maklumat dan informasi yang benar berkaitan sesuatu isu bagi mengekang penularan berita palsu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pada era media sosial muktahir ini terdapat pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah dan hal ini boleh menimbulkan kekeliruan serta spekulasi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Begitu mudah fitnah ataupun perkara yang tidak berasaskan fakta tersebar membingkaikan dan perbincangan atau mengukuhkan sesuatu persepsi berdasarkan apa yang disebut sebagai comfirmation bias.
“Saya beri contoh, saya dapat mesej daripada kawan saya di Australia dan dipanjangkan mesej mengenai satu video yang masuk dalam TikTok tentang orang Melayu yang menerima geran di Temerloh dan mesejnya adalah kerajaan rampas tanah daripada Cina untuk diberikan kepada Askar Melayu.
“Mesej itu disampaikan oleh “anonymous” yang tidak dikenali tetapi disebarkan sekali dengan video, dan sebenarnya jika kita tengok watermark, berlaku sebenarnya di Raub, Pahang.
“Dalam video ini di Temerloh dan dua tempat yang jauh berbeza di mana program melibatkan tanah Felda, bukan isu yang dimaksudkan itu tetapi dalam keadaan penerima tidak mampu melakukan tabayyun,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rancangan bual bicara di platform Youtube Selangor TV iaitu Sembang Malam bertajuk Dua Tahun Kerajaan Perpaduan Pimpinan Anwar Ibrahim pada Selasa.
Program itu turut menampilkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar sebagai panel jemputan.
Dalam pada itu, Fahmi mengambil contoh situasi fitnah begitu mudah tersebar, ketika tular isu mengenai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersantap di kedai berkenaan dan kononnya terdapat isu berkaitan sijil halal.
“Kadang-kadang ia terlalu mudah. Ya betul, benda ini betul. Saya ambil contoh, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri pergi makan di restoran Cina tiada sijil halal.
“Tengok ini, apa sudah jadi. Padahal perkara itu fitnah yang jijik. Cuba bayangkan, takkanlah YDPA nak pergi dengan PM (begitu saja), (tanpa) dengan ‘flushing’, dengan latar belakang, keselamatan,” katanya.
Fahmi turut menekankan, mereka ini melakukan tindakan tersebut tanpa rasa segan silu dan tidak mempunyai tanggungjawab mencetuskan salah faham di kalangan komuniti.
Tambahnya, insiden rusuhan di United Kingdom (UK) disebabkan penyebaran berita palsu di negara itu membuka mata pelbagai pihak terutama kerajaan untuk lebih berwaspada.
“Bukan isu kawal tetapi pelaku melakukan tanpa rasa segan silu, kedua tanpa rasa ada tanggungjawab.
“Saya bagi contoh dalam kes di UK dimana tiga orang kanak-kanak dibunuh oleh seorang pendatang asing beragama Islam mencetuskan huru-hara yang tak pernah berlaku mengakibatkan MCMC di UK mengaku bahawa mereka silap langkah.
“Cara mereka mengatasi masalah sepatutnya macam Malaysia, mereka berkata begitu kepada MCMC,” ujarnya.
Ogos lalu, Insiden rusuhan di UK telah memberi kesedaran kepada Malaysia bahawa masalah penyebaran berita palsu yang tidak boleh diambil secara sambil lewa.
Kerajaan mengambil maklum tentang gesaan Ahli-Ahli Parlimen di UK berhubung keperluan meneliti isu berkaitan penyebaran maklumat palsu terutama selepas insiden rusuhan yang serius di negara itu.





