KERAJAAN tidak akan mencampuri urusan dalaman Majlis Media Malaysia (MMM) meskipun mempunyai hubungan erat dengan badan kawal selia kendiri tersebut, sebaliknya hanya berperanan membantu dari sudut perundangan dan pendanaan bagi memastikan kelancaran operasinya pada peringkat awal penubuhan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa komitmen kerajaan adalah untuk menyokong dan memperkukuh institusi media bebas, bukannya mengawal atau memberi arahan kepada pihak media mahupun kepada MMM.
“Cuma satu harapan saya iaitu rakan dalam lembaga pengasas MMM ini melihat hubungan dengan pihak kementerian ini, kami mahu membantu MMM diwujudkan dan bergerak, tidak ada niat untuk mengawal atau mengarahkan mereka.
“Kami mahu anda bebas untuk mempertimbang, membincangkan bagi menetapkan sesuatu.
“Saya lihat di masa depan, tak mustahil MMM boleh beroperasi secara sepenuhnya berdikari, itu tidak menjadi masalah dan terpulang kepada lembaga pengasas kelak mempertimbangkan apakah kaedahnya, apakah cara-caranya, tetapi sekiranya perlu, kerajaan akan sentiasa mendampingi untuk membantu,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Sebagai Anggota Lembaga Pengasas MMM di kementeriannya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan watikah pelantikan kepada enam daripada 12 anggota Lembaga Pengasas MMM dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Kementerian Komunikasi di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Fahmi berkata, pemahaman terhadap media pada masa kini dan masa hadapan perlu mengambil kira perkembangan teknologi komunikasi serta kehadiran pengamal media bebas yang menggunakan pelbagai platform, termasuk media sosial.
Justeru, peranan MMM dilihat penting untuk menjadi penanda aras baharu dalam melindungi kebebasan media tanpa mengabaikan prinsip tanggungjawab dan etika.
Dalam majlis itu juga, beliau mengumumkan senarai penuh 12 anggota Lembaga Pengasas MMM yang dilantik mengikut tiga kategori utama, iaitu wakil syarikat dan organisasi media; wakil persatuan dan pengamal media bebas; serta wakil bukan media.
Pemilihan mereka dibuat berdasarkan kepakaran, pengalaman dan sumbangan masing-masing dalam bidang kewartawanan, komunikasi serta pembangunan masyarakat.
Antara yang dilantik ialah Wong Yang Yong, Pengarah Urusan The Borneo Post & Utusan Borneo; Datuk Sardathisa G.M. James, Ketua Pengarang Daily Express Sabah; Premesh Chandran Jeyachandran, Pengarah Malaysiakini; Ashwad Ismail, Ketua Pengarang ASTRO Awani; Teh Athira Mohamed Yusof, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ); dan Ronnie Teo Teck Wei, Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching.
Turut menganggotai lembaga pengasas ialah Mohd Radzi Abdul Razak, Pengarah Gerakan Media Merdeka (Geramm); Muthameez Manan Sendinathan, Presiden Persatuan Media Tamil; Mohd Azmyl Md Yusof, Pensyarah Kanan Universiti Sunway; Prof Madya Gayathry S. Venkiteswaran, Penolong Profesor Universiti Nottingham Malaysia; Celine Lim Kooi Hua, Pengarah Urusan SAVE Rivers; dan Terence Ooi Guan Tseng, Pengarah Wiki Impact.
Fahmi berkata, kerajaan berharap lembaga pengasas yang dilantik dapat memacu pembentukan MMM ke arah menjadi sebuah entiti yang mampan, berdikari dan mampu mengemudi industri media yang semakin kompleks dan berhadapan pelbagai cabaran.
Beliau turut menyatakan bahawa MMM diharapkan dapat menjadi landasan penting dalam membawa Malaysia memasuki era media yang lebih bebas, bertanggungjawab dan beretika, sesuai dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan prinsip demokrasi berparlimen.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Fahmi memaklumkan bahawa jumlah pendanaan yang akan disalurkan kepada MMM akan dibincangkan bersama Lembaga Pengasas berdasarkan keperluan semasa.
“Kita akan bincang selepas ini. Di pihak kementerian, kita ada dana, tetapi kita ingin tahu juga daripada lembaga pengasas apakah keperluan mereka. Jadi, kita akan adakan perbincangan dahulu,” katanya.
Penubuhan Majlis Media Malaysia selaras dengan penguatkuasaan Akta Majlis Media Malaysia 2025 [Akta 868], yang bertujuan menjadi kerangka undang-undang utama bagi mewujudkan sebuah badan bebas yang akan mengawal selia etika dan standard profesionalisme dalam industri media tanah air.








