BN, UMNO Negeri Sembilan nafi dakwaan ‘tebuk atap’

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menolak dakwaan ‘tebuk atap’ atau cubaan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri secara tidak bertanggungjawab.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN malam ini, pendirian 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan dibuat secara terbuka, rasmi dan berasaskan prinsip.

Katanya, ia bukan tindakan sulit atau rundingan pintu belakang, dan gerakan merebut kuasa sebaliknya pendirian politik yang sah apabila hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Pendirian UMNO BN jelas, ini bukan ‘tebuk atap’. Ini adalah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar akibat kegagalan mengurus isu adat dan perlembagaan secara tertib.

“UMNO BN tidak campur urusan adat, tetapi tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap tindakan eksekutif yang dilihat mencampuri ruang adat dan menjejaskan kestabilan negeri.

“Pakatan Harapan (PH) perlu memahami bahawa isu ini bukan sekadar pertikaian politik biasa, namun menyentuh krisis yang melibatkan Institusi Adat, Perlembagaan Negeri, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta kestabilan pentadbiran negeri,” katanya.

Dalam kenyataan sama, UMNO BN Negeri Sembilan memaklumkan tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat serta mencetuskan pertikaian awam.

Pada masa sama, menurutnya, Exco UMNO BN tidak dimaklumkan secara sewajarnya dalam proses kerajaan negeri.

“Maka, UMNO BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan yang tidak dimaklumkan, tidak dipersetujui dan tidak selari dengan prinsip menghormati adat serta perlembagaan negeri.

“Atas sebab itu, tindakan menarik sokongan ini bukan soal prestasi harian Menteri Besar semata-mata, tetapi soal keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan beliau dalam mengurus krisis institusi yang amat sensitif.

“UMNO BN Negeri Sembilan juga berpandangan bahawa isu berkaitan adat, institusi dan pentadbiran Negeri Sembilan sewajarnya ditangani dengan penuh kefahaman terhadap konteks negeri ini,” katanya.

Dalam hal itu, UMNO BN Negeri Sembilan berpandangan lebih wajar ruang penjelasan utama diberikan kepada pimpinan dan wakil rakyat Negeri Sembilan yang lebih memahami kedudukan adat, perlembagaan dan sensitiviti setempat.

Tambahnya, UMNO BN Negeri Sembilan tetap menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menghormati Institusi Raja-Raja Melayu, mempertahankan Institusi Adat Negeri Sembilan dan berpegang kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Segala langkah selepas ini hendaklah dibuat mengikut lunas perlembagaan, undang-undang negeri dan tertib institusi.

“UMNO BN Negeri Sembilan menyeru semua pihak, termasuk Pakatan Harapan, supaya tidak meremehkan krisis ini dengan menyempitkannya kepada naratif ‘tebuk atap’ atau perebutan kuasa semata-mata.

“Rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan yang jujur berkaitan bagaimana krisis ini berlaku, mengapa Exco UMNO BN tidak dimaklumkan, dan bagaimana keyakinan terhadap pentadbiran negeri boleh dipulihkan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor menegaskan pendiriannya kekal konsisten sejak berlakunya Langkah Sheraton pada 2020 sehingga kini, iaitu menolak sebarang pembentukan kerajaan melalui pendekatan ‘tebuk atap’.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, ia sejajar dengan prinsip perjuangan UMNO yang tidak pernah tergadai walaupun parti itu bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam landskap politik semasa.

Sebelum ini, ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias juga dilapor menafikan tindakan Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai langkah ‘tebuk atap’.

Beliau berkata, tindakan itu diambil bagi mempertahankan prinsip parti serta mengelakkan campur tangan politik dalam hal berkaitan institusi raja dan adat.

Related Posts

PMX bertemu rakan Kerajaan Perpaduan bincang krisis Negeri Sembilan

SATU pertemuan difahamkan sedang berlangsung melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan, pada Selasa ketika krisis pentadbiran Negeri Sembilan terus menjadi perhatian. Perkara itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan lindungi majoriti pengguna daripada impak kenaikan kos elektrik

PUTRAJAYA – Kerajaan komited mengurangkan kesan kenaikan kos elektrik terhadap rakyat dan sektor perniagaan meskipun berdepan ketidaktentuan harga bahan api di peringkat global. Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PMX bertemu rakan Kerajaan Perpaduan bincang krisis Negeri Sembilan

PMX bertemu rakan Kerajaan Perpaduan bincang krisis Negeri Sembilan

BN, UMNO Negeri Sembilan nafi dakwaan ‘tebuk atap’

BN, UMNO Negeri Sembilan nafi dakwaan ‘tebuk atap’

9,000kg makanan haiwan tanpa permit ditahan di ICQS Bukit Kayu Hitam

9,000kg makanan haiwan tanpa permit ditahan di ICQS Bukit Kayu Hitam

Hasrat pulang tak kesampaian, jenazah Halimah dikebumi di Madinah

Hasrat pulang tak kesampaian, jenazah Halimah dikebumi di Madinah

Kerajaan lindungi majoriti pengguna daripada impak kenaikan kos elektrik

Kerajaan lindungi majoriti pengguna daripada impak kenaikan kos elektrik

PH kesal tindakan 14 ADUN BN Negeri Sembilan

PH kesal tindakan 14 ADUN BN Negeri Sembilan