
PADANG BESAR – Hasrat sebuah keluarga untuk membawa pulang jemaah umrah, Halimah Ismail, 64, ke tanah air tidak kesampaian apabila warga emas itu meninggal dunia di Madinah semalam.
Anak ketiganya, Siti Nur Ain Abd Sanief, 31, berkata, ibunya sepatutnya dibawa pulang pada hari sama selepas terlantar akibat diserang angin ahmar, namun perancangan itu dibatalkan susulan keadaan kesihatan arwah yang semakin merosot.
Katanya, arwah disahkan meninggal dunia pada jam 3.34 petang waktu tempatan (8.34 malam waktu Malaysia).
“Pada awalnya kami berharap mak dapat dibawa pulang ke tanah air, tetapi keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
“Kami reda dengan apa yang berlaku walaupun perasaan kehilangan itu sukar digambarkan,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’, Madinah selepas solat Subuh pagi tadi.
Siti Nur Ain berkata, keluarganya pada mulanya sukar menerima hakikat pemergian tersebut, namun berusaha menenangkan diri dengan bacaan surah Yasin.
“Bila dapat tahu mak sudah tiada, memang rasa tidak percaya, tetapi selepas kami semua baca Yasin, hati jadi lebih tenang.
“Kami percaya mak sudah tidak lagi menanggung kesakitan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan jumlah kutipan menerusi ‘Tabung Mak Cik Halimah (Madinah)’ yang dilancarkan sebelum ini mencecah RM273,000.
Katanya, wang sumbangan itu akan digunakan bagi menyelesaikan bil hospital di sana terlebih dahulu sebelum lebihan disalurkan untuk badal haji dan urusan lain yang bermanfaat buat arwah.
Terdahulu, kisah penderitaan arwah yang berasal dari FELDA Lubuk Sireh mendapat perhatian ramai apabila keluarga memohon bantuan kewangan bagi membiayai kos ambulans udara untuk membawanya pulang ke Malaysia.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila perjalanan pulang yang dirancang bertukar menjadi perpisahan terakhir di bumi barakah.


