KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang didakwa cuba mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah, berkenaan tidak selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan, selain menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan politik negeri.
Beliau berkata, alasan yang dikemukakan oleh ADUN terbabit juga tidak mempunyai kaitan dengan prestasi kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan.
“PH menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan ini yang dilihat tidak mengutamakan kepentingan rakyat, khususnya ketika negara berdepan cabaran ekonomi serta krisis bekalan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, keutamaan ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi dan mengurangkan beban rakyat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan seperti yang disembah maklum oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembila, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan kekal berjalan seperti biasa di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“PH akan terus memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri bagi memastikan kestabilan ekonomi serta kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen PH untuk terus mempertahankan peranan serta fungsi institusi Raja-Raja Melayu dalam sistem pentadbiran negara.



